mutakhir

'Maafkan ayah...'

Oleh Nor Farhani Che Ad

HASRAT lelaki orang kurang upaya (OKU) menghantar makanan tengah hari buat anaknya tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Jalan Persiaran Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, hari ini.

Dalam kejadian pada 1.15 tengah hari itu, Mohd Yusri Ibrahim, 44, yang cacat pendengaran dan bisu, maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh kereta.

Adik mangsa, Mohd Saiful, 43, berkata sebelum kejadian, mangsa sempat singgah ke dobi tempat dia bekerja sebelum beredar dari dobi itu.

"Arwah berhenti seketika dan memberitahu menggunakan bahasa isyarat dia mahu pulang ke rumah untuk menghantar makanan tengah hari untuk anaknya, Mohamad Nor Yazid, 12.

"Saya tidak menyangka pertemuan itu adalah kali terakhir buat kami sebelum saya diberitahu rakan bahawa abang terbabit dalam kemalangan jalan raya tidak jauh dari kedai dobi," katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, hari ini.

Mangsa berstatus bapa tunggal kerana sudah bercerai dengan isterinya manakala anaknya pula OKU masalah pembelajaran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata, mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave dipercayai keluar dari simpang secara tiba-tiba.

"Sebuah kereta Perodua Myvi dari arah Sekolah Kebangsaan Bandar Puteri Jaya menghala ke Hillpark tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa.

"Akibat rempuhan itu, mangsa maut serta-merta akibat parah di kepala," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke HSAH untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: September 1, 2019 @ 6:09pm
d