mutakhir

Ditahan tunjuk lagak atas jalan

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

MENUNGGANG motosikal dengan laju sambil menundukkan badan dan mempamerkan aksi ‘wheelie’ sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

Itu tindakan seorang penunggang motosikal sebelum ditahan dalam Ops Samseng Jalanan Ambang Merdeka di Jalan Kledang Utara, Ipoh, awal pagi semalam.

Dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bermula 1 hingga 7 pagi itu, lelaki berusia 23 tahun itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Trafik IPD Ipoh.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohd Nordin Abdullah berkata, penunggang motosikal berkenaan yang bekerja sebagai mekanik motosikal itu didapati melakukan kesalahan memandu secara berbahaya.

Beliau berkata, polis menahan lelaki berkenaan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

“Dalam operasi itu, polis memeriksa 189 individu dan mengeluarkan 93 saman atas pelbagai kesalahan manakala 13 motosikal disita kerana tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Antara kesalahan dikenalpasti adalah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, lesen tamat tempoh, nombor pendaftaran dan cermin sisi tidak mengikut spesifikasi, mengubahsuai kenderaan serta ekzos.

“Semua kesalahan dikeluarkan saman manakala hanya seorang iaitu penunggang motosikal berusia 23 tahun itu sahaja ditahan atas kesalahan memandu secara berbahaya,” katanya.

Disiarkan pada: September 1, 2019 @ 9:01pm
d