mutakhir

Mujur sempat kenduri

Oleh Nur Lela Zulkipli

DUA beradik hampir membatalkan majlis perkahwinan mereka yang dirancang hari ini, berikutan amaran air pasang besar yang dikeluarkan di persisiran pantai Selangor sehingga esok.

Namun, fenomena diramal tidak serius, membolehkan majlis diteruskan di Dewan Orang Ramai Tok Muda, Klang, yang sebelum ini kerap dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) jika banjir.

Muhammad Iqmal Md Azami, 22, berkata, sangat bersyukur majlis dirancang berlangsung lancar walaupun dalam masa sama, bimbang dengan amaran fenomena itu yang diketahuinya sejak Rabu lalu.

“Jika air naik (banjir), mungkin saya dan keluarga terpaksa batalkan majlis hari ini. Tapi Alhamdulillah, keadaan baik.

“Selepas mengetahui amaran air pasang itu, saya sudah pasrah sekiranya majlis terpaksa dibatalkan terutama jika pihak berkuasa arahkan dewan ini dikosongkan untuk jadi PPS,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Pada majlis menyambut menantu itu, Muhammad Iqmal berkongsi pelamin dengan abangnya, Muhammad Afiq Azizi, 27, dan mereka disandingkan dengan pasangan masing-masing, Nur Aireen Rajimi, 24, dan Jannatul Nashrah Izaham, 25.

Menurutnya lagi, mereka sekeluarga mengadakan doa selamat semalam dan bacaan yasin bagi mendoakan majlis berjalan lancar.

“Segala-galanya adalah aturan Allah SWT dan kita perlu bersyukur. Saya masih ingat lagi kejadian air pasang besar pada 2016 di mana dewan ini digunakan untuk penempatan penduduk yang terjejas akibat banjir.

“Alhamdulillah, tahun ini penduduk berpeluang makan kenduri pula. Semoga semuanya baik sahaja,” katanya.

Fenomena air laut pasang besar diramal berlaku pada 1 hingga 2 September; 29 September sehingga 2 Oktober dan 27 sehingga 30 Oktober di pesisiran pantai Selangor, dengan ketinggian paras air laut boleh mencecah 5.7 meter.

Fenomena itu diramal melanda Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam, malah risiko banjir sekiranya disusuli hujan lebat dan angin kencang.

Disiarkan pada: September 1, 2019 @ 10:35pm
d