mutakhir

Jiwa tani pelajar SMK Kedondong

Oleh Siti Rohana Idris

SETIAP pagi kelihatan sekumpulan pelajar melakukan tugas masing-masing di kebun nanas seluas 0.8 hektar dalam kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedondong, di sini.

Ada yang membaja, membuang rumput, meracun dan memeriksa daun bagi mengesan serangan penyakit pada nanas MD2 diusahakan.

Pengetua SMK Kedondong, Mat Lazim Mohammad berkata, tanaman nanas MD2 itu diusahakan pelajar tingkatan empat mengambil aliran Pendidikan Vokasional Menengah Atas (PVMA).

Katanya, penanaman nanas jenis itu yang juga sebahagian sukatan pertanian dimulakan Julai tahun lalu bertemakan Dari Lalang ke Ladang.

“Boleh kata ini projek mega untuk subjek kelas vokasional dan kami memilih nanas MD2 kerana tanaman ini mempunyai permintaan tinggi di pasaran selain mudah dijaga.

“Ada 22,000 benih nanas MD2 di ladang di belakang sekolah. Selain itu, tanaman ini juga ditanam di beberapa lokasi sekitar sekolah sebagai landskap.

“Kami mendapat bantuan pelbagai pihak seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyalurkan dana pelaksanaan RM15,000 diberikan menerusi dua fasa,” katanya di ladang nanas sekolah itu.

Menurutnya, 14 pelajar tingkatan empat mengikuti kelas PVMA menghabiskan masa dua jam bagi melakukan tugasan masing-masing di ladang berkenaan pada sebelah pagi.

Mat Lazim berkata, tahun lalu hanya enam pelajar mengikuti kelas itu dan peningkatan mendadak penyertaan disebabkan timbul kesedaran mengenai kemahiran pertanian yang boleh menjana pendapatan lumayan.

“Tahun depan kami menyediakan satu kelas PVMA untuk tingkatan lima dengan jumlah pelajar tidak melebihi 25 orang kerana ia di bawah kuota Jabatan Pembangunan Kemahiran,” katanya.

Beliau berkata, nanas MD2 mengambil masa 15 bulan untuk matang dan tanaman itu dijangka dapat dituai hujung tahun ini.

“Persatuan Nanas Kelantan akan membeli tanaman ini secara pukal. Jadi tidak ada masalah untuk mencari pasaran,” katanya.

Disiarkan pada: September 2, 2019 @ 5:05am
d