mutakhir

Agong ziarah mangsa kebakaran

Oleh Faliq Lajim

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menziarahi mangsa kebakaran di Kampung Otentik, Jalan Tanjung Batu Laut, Tawau, Sabah, hari ini.

Istana Negara dalam kenyataan berkata, baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa kebakaran.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar sumbangan berkenaan dapat mengurangkan bebanan semua mangsa yang terbabit.

“Pada masa yang sama, baginda berharap agar rakyat jelata sentiasa berhati-hati untuk mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku lagi.

“Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Unit Penyelaras Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri atas kerjasama untuk bersama-sama membantu semua mangsa kebakaran di Kampung Otentik, Tawau.

“Juga setinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal yang turut bersama-sama hadir dan membantu,” katanya.

Keberangkatan Seri Paduka hari ini mencerminkan keprihatinan baginda terhadap mangsa yang ditimpa musibah di mana sempat meluangkan masa walaupun sibuk dengan program-program harian rasmi.

Lawatan ke Tawau itu juga adalah julung kali buat Tuanku Al-Sultan Abdullah sejak baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Kali terakhir lawatan Yang di-Pertuan Agong ke Tawau adalah pada 2004, oleh Seri Paduka ke-12, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

Dalam kejadian 26 Ogos lalu, 69 rumah musnah dalam kebakaran terbabit.

Disiarkan pada: September 2, 2019 @ 1:19pm
d