mutakhir

Dua remaja perempuan ditahan JHEAT

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SEMBILAN individu termasuk empat remaja bawah umur ditahan dalam operasi khas Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sekitar Marang kelmarin.

Turut ditahan, dua pasangan kekasih yang disyaki berkhalwat dalam operasi sempena sambutan Ambang Merdeka Ke-62 bermula jam 11 malam kelmarin hingga 7 pagi semalam ketika pemeriksaan di 12 buah hotel, chalet dan rumah tumpangan.

Ketua Penolong Pesuruhjaya (Penguatkuasaan) JHEAT Nik Zuhaiza Ismail berkata, operasi membabitkan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Marang, JHEAT dan Ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Rhu Rendang.

“Dua remaja perempuan berusia 17 tahun ditahan dalam keadaan mengaibkan bersama tiga lelaki yang berusia antara 16 hingga 23 tahun di sebuah chalet disewa mereka kira-kira 7 pagi.

“Kesemua mereka yang berusia antara 16 hingga 42 tahun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 29 (perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah) dan Seksyen 31 (khalwat) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001,” katanya hari ini.

Nik Zuhaiza turut menasihatkan masyarakat Islam terutama ibu bapa supaya lebih prihatin dalam mengawasi anak mereka dan menjauhi perbuatan tidak bermoral serta menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan bukan mahram.

Menurutnya, JHEAT turut mengalu-alukan masyarakat menyalurkan maklumat sekiranya ada kesalahan syariah berlaku di kawasan mereka bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Disiarkan pada: September 2, 2019 @ 5:32pm
d