mutakhir

Bicara kes bunuh CEO Cradle Fund tangguh

Oleh BERNAMA

PERBICARAAN kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) Nazrin Hassan yang ditetapkan bermula esok, ditangguhkan ke tarikh baharu yang akan dimaklumkan kelak.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Mawarni Halim berkata, penangguhan itu dimohon pihak pembelaan sebelum ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana mereka sedang terbabit perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijalankan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Permohonan penangguhan perbicaraan kes itu yang sepatutnya bermula esok dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, baru-baru ini.

“Pihak pembelaan juga memohon kepada mahkamah supaya perbicaraan dijalankan pada setiap Jumaat, namun tarikh baharu bicara akan ditentukan dan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Pada 11 April lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan perbicaraan kes pembunuhan Nazrin bermula esok hingga 15 September dan 23 September hingga 4 Oktober ini.

Pihak pembelaan yang terbabit dalam perbicaraan kes pembunuhan berprofil tinggi itu adalah peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah dan peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Dr Muhammad Shafee mewakili isteri Nazrin iaitu Samirah Muzaffar, 44, manakala Hisyam Teh mewakili dua remaja lelaki 17 tahun dan 14 tahun yang turut didakwa dalam kes pembunuhan itu.

Pada 12 Mac lalu, Samirah yang juga bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan dua remaja lelaki itu didakwa bersama-sama wanita Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas membunuh Nazrin ketika itu berusia 47 tahun di sebuah rumah di Mutiara Homes, Petaling Jaya.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi pada 14 Jun 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama itu memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pada 27 Mac lalu, kedua-dua remaja itu dibebaskan dengan jaminan Mahkamah Tinggi dan dikenakan wang jaminan RM50,000 seorang bersama lapan syarat jaminan, antaranya, tidak boleh tinggal bersama ahli keluarga yang menjadi saksi.

Mereka juga perlu berada di kediaman masing-masing bermula jam 6 petang hingga 6 pagi setiap hari, dan tidak dibenarkan meninggalkan negara dengan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Pada 28 Mei 2019 pula, Mahkamah Persekutuan membenarkan Samirah dibebaskan dengan ikat jamin RM500,000 berserta dua penjamin sementara menunggu perbicaraan.

Disiarkan pada: September 2, 2019 @ 6:17pm
d