mutakhir

Trafik perlahan ke ibu negara

Oleh Rosyahaida Abdullah

ALIRAN trafik lebuh raya utama yang menghubung Kuala Lumpur, perlahan namun terkawal, sehingga 6 petang ini susulan berakhirnya cuti panjang hujung minggu.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, jumlah trafik dijangka terus meningkat di Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Katanya, di Lebuhraya Utara Selatan, trafik perlahan dari utara antaranya, dari kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang ke Bukit Berapit; Ipoh Utara ke Hentian Simpang Pulai dan Bukit Beruntung ke Sungai Buaya.

“Pergerakan lebih perlahan dari Sungai Perak ke Terowong Menora disebabkan terdapat van rosak di KM257. Kawasan lain antaranya dari Hentian Sebelah Gua Tempurung ke Tapah dan Hentian Sebelah Ladang Bikam ke Sungkai,” katanya.

Ulas jurucakap itu, jumlah kenderaan meningkat dari selatan di Simpang Renggam menghala ke Machap; Hentian Pedas Linggi ke Port Dickson dan selepas Plaza Tol Sungai Besi ke pusat bandar.

Manakala, pemantauan di LPT menyaksikan kawasan biasa alami kesesakan iaitu Bentong Barat ke Plaza Tol Bentong; Lentang ke Bukit Tinggi dan trafik perlahan sejauh 10 kilometer sebelum Plaza Tol Gombak, pada 3 petang.

Sementara itu, Ketua Pengarah LLM Datuk Aziz Abdullah berkata, dianggarkan sejuta kenderaan pulang ke ibu kota setakat semalam dan meramalkan jumlah sama menjelang tengah malam ini.

“Dua minggu lagi akan ada cuti hujung minggu yang panjang dan jumlah kenderaan hampir sama akan keluar dan masuk ke ibu kota, sama ada pulang ke kampung atau bercuti.

“Saranan saya, patuhi papan tanda, gunakan laluan alternatif jika perlu, dan bertimbang rasa ketika di jalan raya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Disiarkan pada: September 2, 2019 @ 7:27pm
d