mutakhir

Tak dapat gaji, bunuh...

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

BERANG tidak menerima gaji dipercayai menjadi punca pengawal keselamatan memukul penyelia syarikat keselamatan sehingga mati di Jalan 13/2 Petaling Jaya, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya menerima panggilan 3.18 petang berhubung kejadian dan sepasukan polis dikerah ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba pihaknya menemui mayat lelaki berusia 54 tahun dalam keadaan terbaring dengan lengkap berpakaian di tandas pengawal keselamatan.

“Ada kesan darah dan muntah pada mayat mangsa. Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa dipukul berkali-kali dengan topi keledar oleh lelaki dikenali sebagai Don pada 6.10 petang semalam.

“Suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di premis itu dipercayai berang akibat tidak menerima gaji lalu bertindak memukul mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zani berkata, susulan itu sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menahan tiga lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di lokasi berkenaan 6 petang hari ini.

“Dua daripada mereka warga Nepal, manakala seorang warga tempatan yang berusia antara 26 hingga 42 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut.

“Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

tamat-

#kw 302, keselamatan, dipukul, berang

Disiarkan pada: September 2, 2019 @ 11:56pm
d