mutakhir

5 hari ketika perintah berkurung di Kashmir

Oleh Amir Abd Hamid

SELEPAS lima hari terperangkap di Srinagar ibu negeri Jammu dan Kashmir ditadbir India yang kini masih melaksanakan perintah berkurung, sekumpulan 11 pelancong rakyat Malaysia bersyukur terselamat keluar dari wilayah bergolak itu.

Ketika berita ini ditulis hari ini, pelancong berkenaan sudah selamat keluar dari Kashmir kelmarin dan tiba di New Delhi dari Agra untuk mengambil penerbangan ke tanah air.

Menceritakan semula, jurucakap kumpulan pelancong itu, Aribah Abdul Rahman, 50-an yang dihubungi berkata, kebanyakan mereka adalah alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama pasangan suami atau isteri masing-masing yang merancang sejak lama untuk bercuti di wilayah indah Himalaya itu.

Berikut adalah catatan perjalanan disediakan Aribah

“Kami terdiri daripada empat pasangan suami isteri dan tiga lagi lelaki. Maknanya tujuh lelaki dan empat perempuan. Peringkat permulaan segalanya berjalan lancar.

Penerbangan kami ke New Delhi dengan Malindo Air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 Ogos lalu tiada masalah sebelum mengambil penerbangan AirAsia ke Srinagar yang mana hanya kami sahaja pelancong dari Malaysia dalam penerbangan itu.

Sampai di Delhi, ketua rombongan kami mendapati ejen pelancongan yang beliau berurusan sebelum ini dan sepatutnya menguruskan lawatan kami ke Kashmir tidak dapat dihubungi. Bagaimanapun setelah mengambil kira pelbagai faktor seperti masalah sekatan kemudahan internet terhad di Kashmir yang mana kemungkinan ejen itu tidak dapat menghubungi kami dan ejen berkenaan juga berjanji akan menanti kami di lapangan terbang Srinagar beberapa hari sebelum kami bertolak dari Kuala Lumpur serta memandangkan pihak AirAsia masih membuat penerbangan ke Kashmir dan memeriksa melalui ejen pelancongan lain di New Delhi yang menyatakan keadaan di Kashmir selamat untuk dilawati, akhirnya kami mengambil keputusan untuk terbang juga ke Kashmir.

Sebaik tiba di lapangan terbang Srinagar, kami dapati ejen itu tidak muncul langsung. Di sini kami mulai berasa tertekan dan bimbang kerana tidak tahu apa patut dilakukan, malah baru tahu perhubungan telefon dan kemudahan Internet tiada langsung dan tiada pelancong luar negara lain kelihatan. Kami diperhati dengan pandangan yang aneh penduduk tempatan. Malah petugas di lapangan terbang turut bertanya kenapa kami datang ke sini, katanya masa tidak sesuai.

Seterusnya beberapa ejen pelancongan tempatan mulai mengerumuni kami menawarkan khidmat mereka apabila melihat keadaan kami yang tidak keruan. Nasib baik dalam penerbangan kami itu kebetulan ada seorang ejen dari Indonesia yang juga menguruskan lawatan ke Kashmir memperkenalkan kami kepada ejen tempatan yang beliau kenali dan boleh dipercayai.

Alhamdulillah ejen baru ini membantu kami menguruskan lawatan kami setakat yang mereka mampu disebabkan keadaan kawalan keselamatan yang amat ketat di Kashmir.

Sebaik sampai ke pekan Srinagar menuju ke rumah bot, kelihatan kedai-kedai ditutup dan keadaan sunyi dengan ramai askar-askar mengawal di kiri kanan jalan. Rumah-rumah bot yang sebelum ini meriah juga nampak sunyi tidak berpenghuni dan menurut pemandu pelancong kami, hampir 90 peratus kosong kerana tiada pelancong.

Sebaik melihat kami, peniaga-peniaga menggunakan bot mulai menghimpit bot kami untuk menjual hasil dagangan mereka. Mereka nampak sangat terdesak kerana tiada pelancong sebagaimana kebiasaan sejak sebulan yang lalu.

Pada hari iaitu Jumaat, kami sepatutnya dibawa ke Pergunungan Gulmart. Cabaran besar yang kami hadapi apabila sekatan jalan raya di setiap jalan utama di mana pemandu terpaksa membuat pusingan U beberapa kali dan menggunakan “jalan tikus”. Dalam hati kami tidak putus-putus berdoa supaya tiada kejadian buruk yang berlaku. Alhamdulillah akhirnya kami berjaya sampai ke tempat yang ditujui. Kelihatan trak askar India berpusu-pusu di jalan raya disertai pasukan palang merah. Kebanyakan kawasan tumpuan mereka ialah di masjid-masjid, hospital dan atas jambatan. Kebanyakan tempat ditutup dengan gulungan dawai. Ada ketika penduduk tempatan ditahan untuk pemeriksaan.

Hari seterusnya, kami dirancang untuk dibawa melawat ke kawasan peranginan Sonamarg di Sindh Valley namun tidak kesampaian kerana di pertengahan jalan, kami dinasihatkan oleh polis pelancong untuk berpatah balik kerana katanya tidak selamat untuk kami terus berada di situ. Beliau juga hairan bagaimana kami boleh berada di situ pada ketika itu. Pemandu mengambil keputusan untuk membawa kami pulang ke rumah bot. Dalam perjalanan pulang, kelihatan pihak tentera India berada di sepanjang jalan. Banyak lori membawa makanan termasuk hasil pertanian ditahan dan tersadai di tepi jalan. Malah sepanjang perjalanan kelihatan kedai-kedai ditutup dan seolah-olah bandar tinggal. Melihatkan keadaan itu, kami berasa amat simpati akan nasib yang menimpa penduduk Kashmir.

Pada hari keempat, kami menginap di sebuah hotel. Jika dilihat dari luar, hotel itu seolah-olah ditutup dan kami masuk melalui pintu belakang. Ternyata hanya kami sahaja menginap di situ. Tiada apa yang boleh dibuat kerana kedai-kedai ditutup, malah beroperasi dari belakang. Maknanya penduduk tempatan menggunakan pintu belakang ataupun dibuka separuh pintunya. Makanan tiada, contohnya peniaga tidak dapat menyediakan roti kerana tiada tepung (tidak dapat bekalan) dan ternyata mereka hidup dalam serba kekurangan. Menurut ejen pelancongan, hampir semua kemudahan awam seperti pejabat pos, sekolah dan universiti ditutup sejak sebulan lalu. Boleh dikatakan sekatan ekonomi, perniagaan dan Internet serta kawalan keselamatan ini akan membuatkan ekonomi Kashmir lumpuh dan rakyatnya menderita kelaparan dan tiada punca pendapatan sekiranya keadaan darurat ini berpanjangan.

Di hotel tempat kami menginap, pemilik hotel berpesan supaya kami tidak memasang lampu bagi menjaga keselamatan dan pada waktu malamnya keadaan amat sunyi, tiada bunyi kenderaan hanya salakan anjing kedengaran walaupun hotel kami menginap di pusat bandar.

Pada hari kelima, Alhamdulillah kami berjaya meninggalkan bandar Srinagar ke New Delhi. Syukur ke hadrat Ilahi dan sememangnya ini pengalaman paling mahal buat kami. Terasa sangat seolah-olah kami berada di suatu dimensi lain dalam dunia yang serba moden ini. Doa buat mereka di Kashmir supaya tidak berlaku peperangan serta nasib mereka semua terbela.

Apa pun, pengalaman berada di Kashmir tidak akan dapat kami lupakan. Amat berbeza dengan pengembaraan sebelum ini di negara-negara lain.

Esok kumpulan pelancong berkenaan dijadualkan tiba di KLIA jam 6.10 pagi menggunakan pesawat penerbangan Malindo Air dari Lapangan Terbang New Delhi.

Ketegangan tercetus apabila India pada 5 Ogos lalu memansuhkan autonomi khas diperoleh Kashmir sejak tujuh dekad lalu dengan mengeluarkan perintah memansuhkan Artikel 370 Perlembagaan selain menguatkuasakan perintah berkurung yang sekali gus mencetuskan kemarahan Pakistan.

Sementara itu, jurucakap Wisma Putra ketika dihubungi menjelaskan pihaknya sudah berjaya berkomunikasi dengan kumpulan pelancong berkenaan.

“Segalanya sudah selesai. Mereka (kumpulan pelancong rakyat Malaysia di Kashmir) sekarang sudah berada di Agra. Malam ini akan ke Delhi dan malam esok akan berangkat pulang ke Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 9:11am
d