mutakhir

Kalau belum ajal...

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI cedera selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam longkang di Jalan Rasa, di Bukit Beruntung, hari ini.

Bagaimanapun, mangsa, Lee Ming, 59, bernasib baik kerana berjaya dikeluarkan orang awam sebelum kenderaan itu terbakar.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, jam 8.01 pagi.

“Seramai sembilan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati sebuah Toyota Camry terbabas ke dalam longkang dan terbakar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kebakaran itu berjaya dipadamkan oleh pihak bomba beberapa minit kemudian.

“Pemandu kereta berjaya dikeluarkan orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

“Difahamkan mangsa patah tangan kanan dan dikejarkan ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan,” katanya.

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 10:44am
d