mutakhir

Pecah monopoli Mongolia, Korea Selatan [METROTV]

Oleh Mohd Hilmie Hussin

SKUAD memanah tradisional berkuda negara yang melakar kejayaan di Chungju, Korea Selatan mendapat sambutan wira sebaik keluar dari balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Kejayaan merangkul dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa di Kejohanan Memanah Berkuda Dunia ke-15 dan Kejohanan Seni Pertahanan Diri Dunia, Chungju 2019 itu, menyaksikan nama Malaysia tercatat sebagai antara kuasa baharu sukan memanah tradisional berkuda dunia.

Presiden Pertubuhan Pemanah Tradisional Malaysia (PERTAMA) Muhamad Akmal Mohamad Dahalan berkata, 12 peserta membabitkan lapan dewasa dan empat kanak-kanak di kejohanan terbabit kali ini, cukup memberangsangkan dengan kejayaan yang dibawa pulang.

“Kita menang emas dalam acara Serial Shoot Individu menerusi Erina Emelina Ismail dan acara Serial Shoot Berpasukan menerusi Erina Emelina, Mohd Safwan Abdul Rashid dan saya (Muhamad Akmal).

“Dua perak disumbang Mohd Safwan dalam acara Serial Shoot Individu dan Single ShootBerpasukan yang dianggotai saya, Mohd Nasrul Kamarulzaman dan Mohd Ridzuan Zakaria, manakala gangsa dimenangi Lee Jin Ming dalam kategori Double Shoot Individu Remaja,” katanya.

Beliau ditemui di KLIA, sebaik tiba dari Korea Selatan, malam tadi.

Menurutnya, skuad negara terbabit terdiri daripada ahli persatuan PERTAMA, Persatuan Pemanah Berkuda As-Sibaq Malaysia dan Kelab Memanah Berkuda Merpati Jepang, Sarawak.

Muhamad Akmal berkata, sebagai atlet dari Malaysia, kejayaan yang dicapai amat dibanggakan apa lagi mengatasi Mongolia dan Korea Selatan dalam acara Serial Shoot individu dan berpasukan.

“Bukan mudah nak atasi atlet Mongolia dan Korea Selatan kerana mereka terkenal dengan sukan ini, tambahan pula persaingan memabbitkan 42 negara yang mengambil bahagian.

“Kejohanan ini hanya dilangsungkan tiga tahun sekali dan kami bertuah melakar kejayaan,” katanya.

Menurutnya, tidak mudah untuk pemanah negara menghadapi saingan yang menguji mental serta fizikal itu, terutamanya dalam mencari kesesuaian dengan kuda tempatan yang disediakan negara tuan rumah.

Katanya, kemampuan pemanah negara serasi dengan kuda walau dalam tempoh lima minit, banyak membantu kemenangan kali ini.

Kepulangan wira negara itu bagaimanapun tidak lengkap berikutan Erina Emelina tidak menyertai delegasi itu, kerana terus ke kejohanan lain.

Sementara itu, Mohd Nasrul berkata, kejayaan atlet negara membuka mata negara kuasa sukan ini seperti Mongolia, Korea Selatan dan Kazakhstan yang memuji ketangkasan delegasi Malaysia.

“Kejayaan kita memecah dominasi Mongolia dalam Serial Shoot yang perlu melepaskan lima panah pada lima sasaran mengejutkan Mongolia dan negara lain,” katanya.

Ketika sambutan wira itu, Presiden Aktivis Busana Melayu (ABM) Kajang, turut memakaikan Muhamad Akmal setanjak Naga Gemulong sebagai tanda kepulangan wira.

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 11:00am
d