mutakhir

Dr Mahathir diberi sambutan rasmi di Phnom Penh [METROTV]

Oleh Hardi Effendi Yaacob

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diberikan sambutan negara di Peace Palace, Phnom Penh hari ini sempena lawatan rasmi beliau ke Kemboja.

Ketibaan Dr Mahathir bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali disambut rakan sejawatnya, Hun Sen dan isteri, Bun Rany sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Dr Mahathir kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormatan Angkatan Tentera Kemboja (CAF) dengan diiringi Hun Sen sebelum dua pemimpin bersahabat itu mengadakan perbincangan dua hala, khusus dalam memperkukuhkan hubungan Malaysia - Kemboja.

Malah pertemuan itu juga penting bagi meneroka lebih banyak peluang perniagaan dan pelaburan antara kedua-dua negara selain membincangkan beberapa isu berbangkit di peringkat serantau yang membabitkan kepentingan Malaysia dan Kemboja.

Kemuncak pertemuan Dr Mahathir dan Hun Sen ialah Majlis Menandatangani Perjanjian Pengecualian Cukai Berganda (DTA) serta Memorandum Persefahaman (Mou) Perjanjian Promosi Pelancongan antara kedua-dua negara.

Malaysia diwakili Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah manakala Kemboja diwakili Menteri Kewangan dan Ekonomi, Aun Pornmoniroth serta Menteri Pelancongan Dr Thong Khon pada majlis berkenaan.

Ia mencipta rekod pencapaian tersendiri apabila Kemboja adalah negara ASEAN terakhir menandatangani DTA dengan Malaysia sekali gus berpotensi meningkatkan lagi prestasi dagangan kedua-dua negara.

Dr Mahathir dan Hun Sen dijadual turut mengeluarkan kenyataan bersama sejurus selesai pertemuan mereka pagi ini.

Untuk rekod, Malaysia dan Kemboja merekodkan nilai dagangan mencecah RM1.78 bilion dalam enam bulan pertama tahun ini, meningkat 39.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Keseluruhannya, terdapat 400 syarikat Malaysia beroperasi di Kemboja ketika ini membabitkan pelbagai sektor termasuk perbankan, makanan, hospitaliti, hartanah, petroleum dan perhotelan.

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 11:30am
d