mutakhir

Dua lelaki didakwa tipu projek bauksit

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

DUA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas pertuduhan melakukan penipuan projek perlombongan bauksit yang tidak wujud membabitkan nilai RM350,000, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Hamdan Hassan, 50, dan Ahmad Ghazali Deraman, 64, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka secara bersama dengan curangnya mendorong ahli perniagaan, Chan Boon Hwa, 62, menyerahkan wang berjumlah RM350,000 untuk projek perlombongan bahan mineral yang tidak wujud itu.

Kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan itu di sekitar Kuantan pada 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Azreen Wan Zaid manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd Faizal Hiqram Azmi.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM30,000 seorang dengan seorang penjamin bercagar bagaimanapun Mohd Faizal Hiqram memohon mahkamah mengurangkan nilai jaminan berkenaan.

“Anak guam pertama saya iaitu Hamdan, mempunyai enam anak yang masih bersekolah dan dia tidak bekerja serta tidak mempunyai pendapatan..malah isterinya juga tidak bekerja.

“Anak guam kedua saya, Mohd Ghazali pula bekerja sebagai tukang kebun dengan pendapatan RM2,000 dan perlu menanggung lima anak,” katanya.

Nurul Farahah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 seorang dan menetapkan 17 September ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu di mahkamah sama, lelaki didakwa kerana menyimpan harta curi iaitu wang berjumlah RM197,000 tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Fadli Ahmad Ghazali, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dari Kampung Mentiga, Pekan dengan curangnya menyimpan wang tunai kepunyaan Boon Hwa dengan memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun bank CIMB miliknya.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di Bank CIMB, Jalan Beserah di sini antara 29 Januari hingga 13 April 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan dikenakan denda.

Mahkamah menetapkan 17 September ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM7,500.

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 12:49pm
d