mutakhir

'Saya bukan Ketua Polis Pakatan Harapan'

Oleh Muhammad Apendy Issahak

KETUA Polis Negara (KPN) Datuk Seri Abdul Hamid Bador menafikan hanya ‘menyerang’ parti pembangkang saja tetapi lebih bersifat neutral.

Beliau menafikan membuat kenyataan menuduh parti pembangkang menjadi punca isu ketegangan kaum dan agama di negara ini.

Menurutnya, kenyataan dibuatnya sebelum ini adalah kebiasaannya dalam mana-mana situasi bila berlaku perubahan mendadak kerajaan akan wujudlah pergolakan.

“Di dalam kerajaan sendiri parti akan bercakaran sesama sendiri untuk menegakkan agenda politik masing-masing.

“Parti pembangkang yang kalah pula biasalah akan berusaha melemahkan kerajaan, akan berusaha untuk kerajaan jadi tidak stabil itu peranan mereka.

“Bila pula saya menyerang pembangkang saja?,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Operasi Bersepadu Khazanah di Bataliom 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor hari ini.

Abdul Hamid meminta semua pihak tidak mengeluarkan komen atau tuduhan melulu sebaliknya dengar dan fahami kenyataannya.

“Ada suruh saya letak jawatan kata saya masuk campur dalam hal politik...seolah-olah saya ini adalah Ketua Polis Negara Pakatan Harapan.

“Tidak...saya Ketua Polis Negara untuk negara bukan untuk parti politik,” katanya.

Pada 29 Ogos lalu, Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil dilapor menyarankan Abdul Hamid agar jangan sesekali bersikap partisan atau berat sebelah kepada mana-mana parti politik atau memberikan apa-apa kenyataan yang boleh dianggap sebagai berbaur kepentingan politik malahan tidak adil atau tidak benar dari segi fakta.

Abdul Hamid berkata, beliau sekali lagi menegaskan agar tidak menimbulkan isu remeh hingga mengakibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibebani dan tidak dapat menjalankan tugas hakiki membanteras jenayah.

“Jangan kita menjadi manusia yang sombong dengan sibuk mencari kedudukan, mencari pengaruh hingga membebankan PDRM.

“Hal politik yang sepatutnya boleh diselesaikan tetapi tidak habis-habis sejak tahun lalu macam-macam isu hingga perkara remeh pun dijadikan isu.

“Isu perkauman, isu agama, kita perlu beralih daripada isu ini kerana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tiga tahun lagi jadi ini fokus di situ nanti,” katanya.

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 1:01pm
d