mutakhir

Kuasa besar dunia jangan buli negara kecil [METROTV]

Oleh Hardi Effendi Yaacob

TUN Dr Mahathir Mohamad membidas tindakan beberapa negara kuasa besar dunia mengenakan sekatan terhadap negara kecil di rantau ini.

Bagi Perdana Menteri, tindakan sedemikian adalah sangat tidak adil kerana bukan saja boleh merencatkan pembangunan malah turut menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara kecil berkenaan.

“Kuasa besar dunia sebelum ini asyik bercakap mengenai hak kebebasan namun tindakan mereka bertentangan dengan prinsip kebebasan yang dilaung-laungkan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Sen di Peace Palace di Phnom Penh hari ini.

Dr Mahathir dan Hun Sen sebelum itu mengadakan pertemuan dua hala lebih sejam sempena lawatan rasminya ke Kemboja, khusus bagi memperkukuhkan hubungan Malaysia - Kemboja.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin turut menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pengecualian Cukai Berganda (DTA) dan Memorandum Persefahaman (Mou) Perjanjian Promosi Pelancongan antara kedua-dua negara.

Malaysia diwakili Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah manakala Kemboja diwakili Menteri Kewangan dan Ekonomi, Aun Pornmoniroth serta Menteri Pelancongan, Dr Thong Khon.

Dr Mahathir ketika mengulas lanjut berkata, isu sekatan itu akan dibangkitkan beliau ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) di New York pertengahan bulan ini untuk mencari keadilan.

“Dengan negara (kecil) yang dikenakan sekatan itu, kita memang tiada masalah.

“Namun, kita terpaksa berhenti berdagang dengan mereka hanya disebabkan sekatan dikenakan oleh negara kuasa besar berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, selain tindakan sekatan berkenaan, beberapa isu berbangkit lain turut menjadi tumpuan sepanjang pertemuannya bersama rakan sejawatnya dari Kemboja itu.

Ia termasuk isu keselamatan perairan Selat Melaka dan Laut China Selatan, dengan kedua-duanya adalah laluan perdagangan terpenting bagi kemakmuran ekonomi serantau.

“Selat Melaka dan Laut China Selatan sepatutnya ‘bebas’ digunakan bagi aktiviti perdagangan sekali gus menyumbang kepada usaha memperkasakan ekonomi wilayah, dengan kesan positifnya turut dinikmati bersama dalam negara anggota (ASEAN),” katanya.

Beliau berkata, pertemuan bersama Hun Sen turut bertumpu kepada penyertaan Timor Leste dalam ASEAN yang dijangka berlangsung pada sidang kemuncak gabungan negara serantau itu akan datang.

Dr Mahathir yang diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sebelum itu diberikan sambutan negara sejurus tiba di Peace Palace pagi tadi.

Ketibaan beliau disambut sendiri oleh Hun sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Dr Mahathir kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormatan dari Angkatan Tentera Kemboja (CAF) sebelum dua pemimpin bersahabat itu mengadakan perbincangan dua hala, khusus dalam memperkukuhkan hubungan Malaysia - Kemboja.

Sementara itu, Hun Sen berkata, beliau dan Dr Mahathir bersetuju mengarahkan agensi berkaitan di kedua-dua negara mencari kaedah terbaik untuk meningkatkan hubungan dagang dan pelaburan Malaysia - Kemboja.

“Kita menghargai komitmen dan dedikasi Malaysia dalam agenda pembangunan Kemboja selama ini, terutama dalam konteks ekonomi. “Malah Malaysia berada dalam kelompok rakan dagang strategik terbesar bagi Kemboja,” katanya.

Katanya, Kemboja dan Malaysia juga secara dasarnya bersetuju untuk mengadakan kerjasama latihan dan perkongsian maklumat dalam konteks keselamatan serta pertahanan kedua-dua negara.

“Dalam perbincangan bersama Dr Mahathir, kita turut mencapai persetujuan untuk mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan, khususnya aktiviti penyeludupan manusia yang kini turut menjadi ancaman global,” katanya.

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 2:19pm
d