mutakhir

Cikgu tak mengaku salah

Oleh Sarah Zulkifli

GURU sekolah rendah yang ditahan selepas polis menyerbu parti liar di sebuah apartmen, baru-baru dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini, atas dua pertuduhan memiliki dadah jenis Nimetazepam dan Methylenedioxymethamphetamine (MDMA).

Tertuduh, Farid Abdullah, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Rahni Kartini Abd Rahim.

Lelaki yang memakai baju kurta itu dilihat tenang di dalam kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki dadah berbahaya jenis Nimetazepam dengan berat kasar 1.55 gram (g), manakala pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki 3-4 Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat 0.74 g.

Dia didakwa melakukan dua kesalahan itu di sebuah rumah di The Scott Garden, Jalan Klang Lama di Kuala Lumpur, 3.30 pagi pada 31 Ogos lalu.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatin Mohamad Farid menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela kemudian merayu supaya diberikan jaminan rendah.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Oktober sebagai sebutan semula.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang guru sekolah rendah antara 13 individu ditahan polis dalam serbuan di sebuah apartmen di Jalan Klang Lama selepas dipercayai terbabit dalam parti liar.

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 3:10pm
d