mutakhir

[UPDATE] 'Hanya lakonan untuk filem pendek'

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

“VIDEO ‘culik’ yang tular di Facebook (FB) dan aplikasi WhatsApp sejak semalam sebenarnya adalah rakaman untuk filem pendek,” kata Abdullah Aqili Romeli, 28.

Menurutnya, rakaman itu hanya lakonan untuk filem pendek yang dihasilkan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dari Pulau Pinang di lokasi itu pada Jumaat lalu.

Katanya, kejadian itu bukan kejadian penculikan sebenar tetapi rakaman untuk pertandingan filem pendek yang dianjurkan Kementerian Penerangan Malaysia.

“Rakaman berdurasi 19 saat yang tular itu adalah sebahagian daripada sedutan filem yang keseluruhan berdurasi tiga minit 20 saat berkisarkan mengenai perkauman.

“Dalam rakaman itu, saya memandu sebuah kereta Perodua Viva warna putih bersama rakan mengambil seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang memakai baju seragam sekolah di tepi jalan berkenaan.

“Saya hanya berlakon dalam filem berkenaan dan dibayar dengan sejumlah wang tunai.

“Saya tidak tahu siapa orang yang bertanggungjawab tularkan rakaman itu dan saya tampil untuk meredakan kegusaran orang ramai supaya tidak timbul salah faham dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu hari ini.

Menurutnya, dia tidak tahu sama ada video itu tular adalah taktik promosi atau sebaliknya.

“Saya terkejut apabila ramai yang kongsi rakaman itu sehingga timbul salah faham.

“Diharapkan orang ramai tidak menularkan video itu dengan mendakwa kes penculikan berlaku di negeri ini kerana ia akan menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud mengesahkan tiada laporan dibuat berhubung kejadian culik yang didakwa berlaku di Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu semalam.

Sejak semalam, satu rakaman video berdurasi 19 saat yang didakwa kes culik tular di FB dan WhatsApp hingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Menerusi rakaman itu, seorang budak lelaki dipercayai diambil oleh seorang lelaki yang kemudian membawa masuknya ke dalam sebuah kereta.

Berita berkaitan

Tiada laporan culik lagi

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 6:34pm
d