mutakhir

'Berdebar, tapi tak sabar...'

Oleh Syaherah Mustafa

DUA pasangan kembar antara 84 calon di Sekolah Kebangsaan (SK) Mekasar, Pasir Mas yang teruja untuk menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula esok.

Siti Nur Syazwana Jafree, 12, dan kembarnya Siti Nur Syazwina Jafree, mengakui berdebar, namun tidak sabar untuk menghadapi peperiksaan UPSR.

Siti Nur Syazwana yang tercalon sebagai murid harapan untuk mendapat 6A, berkata dia dan adik kembar sentiasa belajar bersama kerana mereka memang rapat selain tidak pernah berpisah sejak kecil.

“Beberapa hari sebelum UPSR, kami tidak senang duduk malah selalu berkongsi perasaan berdebar untuk menghadapi peperiksaan ini.

“Saya berharap kami dapat menjawab dengan tenang dan memperoleh keputusan cemerlang kerana mempunyai impian untuk memasuki sekolah berasrama penuh bersama,” katanya yang mempunyai lapan adik beradik.

Sementara itu, Nur Ariesya Elyana Abd Aziz, 12, berkata, dia dan kakak kembarnya, Nur Ariesya Elya lebih selesa mengulangkaji pelajaran secara berasingan.

“Kami hanya akan berbincang sekiranya ada kemusykilan. Jika di rumah, saya akan belajar di bilik dan dia di ruang tamu.

“Bagi persiapan terakhir, kami tidak lupa menyediakan setiap kelengkapan peperiksaan seperti pensil, pemadam dan pensil untuk dibawa masuk ke dewan peperiksaan selain memohon maaf untuk mendapat restu ibu bapa dan guru,” katanya yang tinggal di Kampung Padang Pak Amin, Pasir Mas.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Fauzi Zahari, berkata seramai 28,528 calon bakal menduduki (UPSR) di 446 pusat peperiksaan membabitkan 2,391 petugas di negeri ini.

“Daripada jumlah itu 26,927 adalah murid (Sekolah Kebangsaan), 813 (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina), 3 calon (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil), 63 (Sekolah Agama Bantuan Kerajaan), 270 (Yayasan Islam Kelantan) dan 452 adalah calon swasta.

“Kami berharap peperiksaan UPSR tahun ini berjalan dengan lancar. Pada masa sama kami turut membuat persiapan bagi menghadapi kes luar jangka seperti bencana alam,” katanya.

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 8:18pm
d