mutakhir

USM cipta rekod anjur festival layang-layang

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

FESTIVAL Layang-Layang Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM) 2019 yang julung kali diadakan disenaraikan dalam Malaysia Book of Record (MBOR).

Timbalan Pengarah kampus USM Kubang Kerian, Prof Dr Adam Husein berkata, dengan adanya festival berkenaan ia sekali gus dianggap universiti pertama di negara ini yang berjaya menganjurkannya.

Katanya, festival anjuran Jabatan Ortopedik Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM itu turut mendapat kerjasama daripada Pusat Penerangan, Pelancongan Negeri Kelantan (TIC), Majlis Pelayang Malaysia (PM) dan Persatuan Pelayang Negeri Kelantan.

“Festival yang berlangsung selama dua hari bermula semalam dan berakhir hari ini berjaya menarik penyertaan seramai 32 peserta antarabangsa daripada 12 negara termasuk Sweden, Columbia, Austria, Jepun, Brunei dan Indonesia.

“Pada masa sama, ia juga disertai doktor pakar dan petugas Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) selain pelajar perubatan bersempena 50 tahun USM,” katanya kepada pemberita ketika sidang media Festival Layang-layang USM 2019, Kota Bharu, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi festival, Prof Dr Shaifuzain Ab Rahman berkata, pihaknya berharap dengan penganjuran program itu, masyarakat sekitar dapat menerima USM sebagai pusat pengajian tinggi yang mesra rakyat di samping menolak stigma universiti hanya menumpukan kepada kesihatan sahaja.

“Kita tidak menolak kemungkinan festival layang-layang ini akan menjadi acara tahunan di masa akan datang,” katanya.

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 8:31pm
d