mutakhir

'Jho Low diberi mandat'

Oleh Murni Wan Omar

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpurdiberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low adalah orang kepercayaan dan diberi mandat untuk membuat keputusan dalam hal sulit oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bekas pegawai khas kepada Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, berkata demikian dalam prosiding bicara kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Menurutnya, Jho Low adalah penasihat penting dan dalam pengetahuannya, Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor rapat dengan lelaki itu.

“Jho Low kerap menerima panggilan telefon daripada Rosmah tetapi butiran perbualan mereka saya tidak pernah ambil tahu. Sepanjang saya berkhidmat dengan Najib, beliau sering berjumpa dengan Jho Low bagi membincangkan beberapa perkara termasuk perkara sulit.

“Ada masanya arahan khas yang membabitkan perkara sulit kepada Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri (ketika itu Najib), Allayarham Datuk Azlin Alias dan saya turut datang dari Jho Low yang saya pasti diketahui serta dipersetujui Najib sendiri,” katanya.

Amhari berkata, selepas beberapa kali berurusan dengan Jho Low, lelaki itu sendiri memberitahu bahawa beliau rapat dengan keluarga Najib.

“Jho Low banyak kali bercerita beliau sering berjumpa dengan keluarga Najib dan kadang kala lebih tahu rancangan yang disusun oleh keluarga itu yang berada di luar pengetahuan saya sendiri sebagai pegawai khas.

“Saya dimaklumkan oleh Jho Low bahawa beliau mula rapat dengan keluarga Najib sejak mengenali anak tiri, Riza Shahriz Abdul Aziz semasa zaman remaja mereka. Riza yang kemudiannya memperkenalkan Jho Low kepada Rosmah,” katanya.

Menurutnya, walaupun Jho Low masih muda tetapi beliau melihatnya mempunyai karisma dan kuasa ‘luar biasa’.

“Jho Low akan mengarahkan kami dari Pejabat Perdana Menteri (PMO) terutamanya Azlin dan saya dalam melaksanakan arahan Najib. Selain itu ada individu lain yang dikenali Jho Low di PMO yang akan mengambil tindakan terhadap arahannya.

“Jho Low adalah penasihat khas atau penasihat yang tidak dilantik secara rasmi atau secara sulit kepada Najib dalam tugas khas belakang tabir yang tidak diketahui oleh pihak luar dan membabitkan banyak perkara termasuk program antarabangsa, lawatan kerja, cadangan perniagaan, kerja kebajikan dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya.

Amhari berkata, Jho Low juga adalah ‘pencatur’ dalam urusan pelaburan, rundingan antara kerajaan, politik termasuk dana yang diperoleh Najib.

“Setiap arahan yang diberikan oleh Jho Low perlu dilaksanakan kerana saya percaya beliau mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada Najib. Saya tidak pernah mempersoalkan setiap arahan itu.

“Namun ada kalanya dan bila perlu, Azlin atau saya sendiri pernah bertanya semula kepada Najib tentang arahan itu bagi mendapatkan kepastian. Pada kebanyakan masa saya dimaklumkan Najib bahawa arahan diberikan oleh Jho Low adalah dipersetujui oleh beliau,” katanya.

Amhari dalam keterangannya mengesahkan bahawa Najib tidak pernah menyertai perbincangan sulit antara beliau, Jho Low dan Azlin.

“Ini kerana Jho Low diberi mandat sejak awal lagi dan ini adalah cara Najib menyelaraskan dan melaksanakan kerja sulit mengikut pembahagian tugas secara tertutup dalam menjaga kerahsiaan.

“Perjumpaan ini semua lambat laun menjadi semakin pelik apabila arahan diberikan Jho Low semakin agresif dan berlebihan. Setiap arahan perlu dilaksanakan dengan kadar segera dan ada juga arahan itu sukar tetapi ia tetap perlu dilaksannya,” katanya.

Menurut Amhari, sebagai contoh senarai penamaan individu bagi jawatan yang disenarakan oleh Jho Low sudah terlebih dahulu wujud sebelum ia dihebahkan kepada umum.

“Sepatutnya ia memerlukan perbincangan dengan Najib terlebih dahulu. Bagaimanapun, ia pasti diluluskan oleh Najib walaupun senarai itu datang dari cadangan Jho Low.

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 8:50pm
d