mutakhir

'Susah macam mana pun, biarlah kami bersama' [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

“ADA kalanya, saya menangis sendiri dan pernah terfikir untuk lari dari rumah kerana tertekan tetapi tidak meneruskan hasrat itu kerana memikirkan tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak,” kata Aminah Ibrahim, 46.

Ibu kepada empat anak itu mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga sejak suaminya, Zulkifli Abdullah, 57, diserang angin ahmar sehingga lumpuh sebelah kanan badan, sembilan tahun lalu.

Dua daripada anaknya berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) dan keadaan itu menyukarkan Aminah untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga.

Disebabkan kekangan itu, Aminah berikhtiar mencari wang dengan menjual roti pelbagai perisa yang dihasilkan bersama anak sulungnya, Nur Farah Natasha, 20.

“Dulu, suami bekerja sebagai pemandu lori namun sejak dia hilang upaya untuk bekerja, saya yang membantu untuk menyara keluarga.

“Pelbagai pekerjaan yang pernah saya lakukan antaranya sebagai pembantu kedai dobi, butik pakaian dan kali terakhir sebagai juruwang di sebuah restoran berhampiran rumah.

“Ikut hati, saya mahu terus bekerja tetapi terpaksa berhenti bulan lalu kerana tiada siapa boleh menguruskan suami serta dua anak OKU iaitu Muhamad Amirul Akmal, 17, dan Muhammad Ammar Amsyar, 10 yang kedua-duanya OKU kategori fizikal.

“Bukan tidak boleh mengharapkan dua anak lain tetapi mereka terikat dengan komitmen masing-masing. Nur Farah bekerja sebagai kerani di sebuah kilang manakala anak kedua saya, Nurul Shafika, 18, pula masih bersekolah di tingkatan enam,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kajang Sentral, hari ini.

Aminah berkata, rutin hariannya bermula dengan menghantar Nurul Shafika ke sekolah sebelum pulang ke rumah untuk menguruskan keperluan suami dan dua anak istimewanya.

Menurutnya, selepas semuanya selesai, barulah dia melakukan urusan lain seperti mengemas atau keluar sementara untuk membeli keperluan rumah.

“Muhamad Amirul dilahirkan normal tetapi tidak dapat berjalan selepas kakinya retak akibat terjatuh manakala Muhammad Ammar hilang upaya sejak setahun lalu selepas kakinya membengkok.

“Suami pula bergerak di rumah menggunakan kerusi roda namun kebanyakan masanya dihabiskan dengan berbaring. Jadi, saya yang menguruskan keperluan ketiga-tiganya sementara menunggu Nur Farah dan Nurul Shafika pulang ke rumah.

“Dulu, saya ada membawa Muhamad Amirul melakukan pemeriksaan di Hospital Serdang tetapi kini tidak lagi kerana sakit tulang belakang .

“Lagipun, kami tinggal di tingkat tiga jadi saya tidak larat mengangkatnya sendirian untuk turun dan naik semula ke rumah,” katanya.

Dia berkata, buat masa ini, dia menerima bantuan bulanan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), RM350 oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan RM200 menerusi program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

Manakala, sewa rumah sebanyak RM550 dijelaskan kepada pemilik dengan bantuan LZS namun Aminah tetap runsing memikirkan nasibnya sekeluarga kerana wang yang diterima masih tidak cukup untuk menampung lain-lain keperluan.

“Ada yang mencadangkan saya untuk menghantar Muhamad Amirul dan Muhammad Amsyar ke rumah kebajikan bagi meringankan beban yang ditanggung.

“Namun, saya tidak sanggup berpisah dengan anak sendiri dan susah macam mana sekalipun, biarlah kami bersama.

“Selagi termampu, saya akan terus berikhtiar walaupun berat rasanya untuk menanggung ujian ini,” katanya.

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 9:05pm
d