mutakhir

Ustaz ditemui lemas

Oleh Recqueal Raimi

USTAZ sekolah agama yang hilang di perairan Nanamun berhampiran Kampung Batu Gadong, Tamau, Kota Belud, ditemui lemas pada 6.28 petang hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, mayat Sharil Basir, 28, ditemui sekumpulan penduduk kampung yang membantu pasukan penyelamat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Beliau berkata, operasi SAR turut dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dihentikan serta-merta sebaik dimaklumkan penemuan mayat terbabit.

“Mayat mangsa ditemui terapung kira-kira 15 kilometer (km) di tepi pantai dari lokasi terakhir dilaporkan hilang.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan dihantar ke Hospital Kota Belud,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, operasi kemudiannya ditamatkan pada 7 malam tadi.

Terdahulu, mangsa dikatakan bersama bapanya berusia 52 tahun menaiki bot gentian kaca untuk menangkap ikan.

Bagaimanapun, angin kencang disusuli ombak beralun tinggi menyebabkan bot dinaiki mereka terbalik.

Bapa mangsa berjaya berenang ke tepi pantai sebelum memaklumkan pihak berkuasa pada 7.30 pagi manakala mangsa gagal dikesan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Belud, Asisten Superintendan Tan Guan Chai mengesahkan penemuan mayat mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Berita berkaitan

'Ustaz dikhuatiri lemas'

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 10:27pm
d