mutakhir

Jangan tertekan - Maszlee [METROTV]

Oleh BERNAMA

MENTERI Pendidikan Dr Maszlee Malik mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada semua calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula hari ini dan menasihati mereka untuk tidak merasa tertekan ketika menjawab soalan.

Seramai 445,641 calon mendaftar untuk menduduki UPSR pada tahun ini di 8,076 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Maszlee yang melakukan tinjauan di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1) di Putrajaya, hari ini, turut menasihati para ibu bapa agar tidak memberi tekanan kepada anak mereka.

“Saya dapati ibu bapa yang lebih cemas dan tertekan daripada anak-anak, maka saya nasihatkan mereka jangan terlalu menekan anak mereka.

“Stress ini tidak elok, mereka (pelajar) telah berusaha, anggap ini sebagai kehidupan,” katanya kepada media ketika membuat tinjauan itu.

UPSR 2019 akan dijalankan pada 4, 5, 10, 11 dan 12 September.

Maszlee berkata, UPSR hanyalah salah satu komponen pentaksiran bagi sekolah rendah, selain pentaksiran lain iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

“Saya yakin anak-anak dapat lakukan ujian ini. Selamat berjaya dan cemerlang serta sentiasa tenang dalam menghadapi ujian mereka ini,” katanya.

Disiarkan pada: September 4, 2019 @ 9:37am
d