mutakhir

Jho Low kata sudah dapat 'restu' [METROTV]

Oleh Murni Wan Omar

TAKUT diri, keluarga dan kerjaya terancam, seorang saksi mendakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bahawa beliau terpaksa mengikut arahan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low untuk membuka akaun bank di luar negara.

Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, berkata demikian ketika memberi keterangan dalam prosiding bicara kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata dalam satu perjumpaan sekitar tahun 2012, Jho Low mengarahkan beliau dan Ketua Setiausaha Sulit Najib iaitu arwah Datuk Azlin Alias untuk membuka akaun bank, masing-masing di luar negara.

“Saya tahu Jho Low sudah berjumpa Najib sebelum itu kerana beliau mendakwa sudah mendapat ‘restu’ dan kami diarahkan perlu membuka akaun ini bagi langkah bersedia. Azlin dan saya faham ‘restu’ ini adalah dari Najib.

“Pada waktu itu, isu 1MDB sudah mula diperkatakan. Semasa perbincangan ini Jho Low memaklumkan ada kemungkinan besar akaun ini akan digunakan untuk tujuan politik dan beliau akan uruskan akaun itu,” katanya.

Bekas pegawai khas Najib itu berkata, apabila mengetahui perkara itu, mereka berdua takut kerana kemungkinan akaun itu dijadikan akaun pengubahan wang haram bagi tujuan menyimpan dana politik Najib untuk Pilihan Raya Umum ke-13.

“Tambahan lagi, pada masa itu saya terfikir jika akaun ini tujuan yang murni mengapa pembukaan akaun bank itu perlu membabitkan saya, diuruskan oleh Jho Low serta dibuka di luar negara?

“Walaupun dimaklumkan akaun ini adalah langkah persediaan saja tetapi jika betul untuk tujuan dana politik, ia adalah sesuatu yang saya tidak mahu terbabit. Namun Jho Low memberi jaminan untuk tidak risau,” katanya.

Amhari berkata, Jho Low memberi jaminan Najib akan melindungi mereka dan beliau mengikut keputusan Azlin.

“Azlin menyatakan perasaan tidak selesa tetapi Jho Low beritahu semua ini melalui proses yang betul, menggunakan bank ternama dan mempunyai reputasi. Kami terpaksa bersetuju kerana ia membabitkan perkara sulit. Sekiranya kami menolak cadangan ini, kami takut terdapat ancaman kepada diri kami, keluarga dan kerjaya kami.

“Di perjumpaan sulit kami selepas itu, Jho Low asyik mendesak. Azlin beritahu jika tidak ikut ia kami mungkin akan kehilangan kerja. Ia juga akan menjadi ancaman kepada kami dan keluarga disebabkan kami sudah tahu usaha membuka akaun luar negara tetapi tidak mengikut arahannya,” katanya.

Menurut Amhari, Jho Low mengawal dan menyusun semua proses pembukaan akaun dan menghantar mereka berdua ke Singapura untuk membuka akaun.

“Saya tidak ingat bila, tetapi ia diadakan di sebuah bilik hotel. Setibanya kami di situ, Jho Low sudah ada di situ bersama wakil bank BSI bernama Yvonne. Ketika pertemuan itu saya menyerahkan semua dokumen.

“Kami dimanipulasi oleh Jho Low dengan bantuan wakil bank itu. Pada perjumpaan lain, Jho Low ada maklumkan bahawa akaun saya tidak berjaya dibuka tanpa memberitahu sebabnya. Namun akaun Azlin berjaya dibuka,” katanya.

Amhari berkata, selepas perjumpaan lain, Jho Low memberitahunya bahawa akaun BSI di bawah namanya sudah berjaya dibuka.

“Saya juga tidak tahu apa yang Jho Low lakukan sehingga akaun itu berjaya dibuka. Saya berasa pelik. Azlin ada berpesan supaya jangan sesekali menggunakan wang itu kerana ia bukan wang kami.

“Azlin juga pesan supaya turutkan sahaja arahan. Pada 4 April 2015, Azlin meninggal dunia akibat kemalangan helikopter. Perkara ini merunsingkan saya kerana memikirkan masalah akaun BSI yang sentiasa di bawah kawalan Jho Low,” katanya.

Tambah Amhari, pada awal 2016, beliau mendapat panggilan telefon daripada BSI Switzerland yang membuat pertanyaan berhubung akaunnya.

“Dia memaklumkan bahawa terdapat lebih AS800,000 dalam akaun saya. Saya terkejut kerana tidak tahu apa-apa berhubung wang ini. Selepas itu ada seorang lagi pegawai bank BSI menghubungi saya,” katanya.

Disiarkan pada: September 4, 2019 @ 11:20am
d