mutakhir

Mesin oksigen ibarat 'teman setia'

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

MESIN bantuan pernafasan umpama ‘teman setia’ buat Muhammad Ashnawi Azmi, 23, yang menghidap penyakit bronchiolitis obliterance atau paru-paru tidak berfungsi.

Walaupun kehidupannya bergantung kepada mesin itu setiap hari, namun ia tidak mematahkan semangat Muhammad Ashnawi untuk melanjutkan pengajian ke menara gading.

Dia yang menjadi antara penuntut baru Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi sesi 2019/2020 dalam program Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa bersyukur diterima masuk ke universiti berkenaan.

“Sukar digambarkan perasaan gembira saya apabila menerima tawaran melanjutkan pengajian di USIM sehingga ibu turut menitiskan air mata.

“Sebelum ini, saya pernah mohon untuk melanjutkan pengajian peringkat Tamhidi (Asasi) di USIM selepas tamat SPM tetapi tidak berjaya.

“Alhamdulillah, rezeki dan doa ibu dimakbulkan Allah SWT apabila dapat juga saya menjejakkan kaki ke USIM di peringkat Sarjana Muda,” katanya yang memiliki Diploma Syariah dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, penyakit dihidapinya itu mula dikesan ketika berusia dua tahun dan sejak itu dia perlu bergantung kepada mesin oksigen sepanjang masa kerana hanya paru-paru kanan berfungsi manakala sebelah kiri tidak berfungsi.

“Doktor menyarankan saya menggunakan mesin oksigen mudah alih. Sebelum ini saya guna mesin besar tetapi saya bersyukur kini saya guna mesin lebih kecil dan ringan berharga RM18,000 yang disumbangkan Lembaga Zakat Selangor.

“Saya menerima rawatan secara berkala setiap tiga bulan di Hospital Serdang.

“Saya anggap penyakit ini ujian Allah SWT dan pasti ada hikmah. Saya pernah beberapa kali koma dan paling lama 14 hari tahun lalu.

“Ia berlaku ketika saya tidur di rumah dan doktor memaklumkan puncanya disebabkan oksigen tidak sampai ke otak,” katanya.

Mengakui pergerakan dan aktiviti agak terbatas, Muhammad Ashnawi menjadikan ia sebagai motivasi untuk buat yang terbaik dan berazam menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Disiarkan pada: September 4, 2019 @ 1:26pm
d