mutakhir

Mat Sabu ucap takziah

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

MENTERI Pertahanan Mohamad Sabu merakamkan simpati dan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, pegawai komando 11 Rejimen Gerup Gerak Khas yang maut ketika demonstrasi sempena gimik penubuhan Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5Divisyen) di Kota Kinabalu, hari ini.

Mohamad berkata, Allahyarham yang juga anak kepada seniman A R Badul menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, pada 9.20 pagi.

Katanya, ia khabar duka bagi Kementerian Pertahanan dan amat bersimpati atas kejadian itu.

“Saya berharap agar keluarga Allahyarham tabah menghadapi kejadian yang berlaku.

“Saya juga mengharapkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sehingga laporan bedah siasat selesai bagi menghormati keluarga Allahyarham,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Mohd Zahir menyertai demonstrasi bermula kira-kira 8.30 pagi dan kumpulan demonstrasi itu adalah persembahan ketiga yang dilakukan.

Ketika kejadian, mangsa berbaju putih dan bertopeng beraksi sebagai penjenayah yang ditembak mati oleh anggota tentera.

Mangsa kemudian rebah dan diheret ke tepi sebelum persembahan ditamatkan.

Bagaimanapun, mangsa didapati tidak sedarkan diri sebelum topeng mukanya dibuka dan mukanya berlumuran darah.

Mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, sebelum disahkan meninggal dunia.

Berita berkaitan

Badul reda pemergian Mohd Zahir

Anak A R Badul mati tertembak

Disiarkan pada: September 4, 2019 @ 1:39pm
d