mutakhir

Semangat Chin Xiang

Oleh Zuhainy Zulkiffli

CACAT tidak menjadi penghalang kepada pengidap penyakit atrofi otot spina (SMA) tahap dua bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Perakaunan.

Walaupun berkerusi roda, semangatnya bagi menyambung pengajian tidak pernah terpadam malah mendapat sokongan keluarga.

Penuntut berkenaan, Oi Chin Xiang, 21, berkata, dia bersyukur kerana proses pendaftaran dan penempatan pelajar berjalan lancar walaupun tidak berupaya melakukannya sendiri.

Ditemani ibu, Ooi Gaik Kee, 51, Chin Xiang berkata, melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM) bukan lagi sebagai angan-angan sebaliknya sudah menjadi kenyataan.

“Saya sudah tahu keupayaan USM sebagai universiti mesra OKU dan tanpa berfikir panjang, saya terus membuat permohonan dan tidak sangka diterima di sini memandangkan masalah fizikal yang dihadapi.

“Saya hanya bergerak menggunakan kerusi roda dan akan dibantu ibu sepanjang pengajian,” katanya kepada media, di USM hari ini.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin Bukit Mertajam itu pernah menerima anugerah pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun lalu oleh kerajaan negeri pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang STPM dan SPM 2018 Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Sementara itu, kehadiran dua pasangan kembar Dhika Marzuki, 21, dan Dhifa iaitu penuntut Ijazah Sarjana Muda Perumahan, Bangunan dan Perancangan serta Siti Ainiee Mohd Sakri, 20 dan Siti Aishah, penuntut Ijazah Sarjana Muda Sastera, mencuri tumpuan.

Dhika dari Kajang, Selangor berkata, sejak memasuki USM sudah ramai yang keliru antara dia dan adiknya, namun kini mereka sudah dapat membezakan kedua-duanya.

“Memang sukar bagi membezakan saya dan adik berikutan wajah seiras serta gemar memakai pakaian yang sama sejak kecil namun yang membezakan kami ialah saya mempunyai tahi lalat di pipi,” katanya

Siti Aishah pula berkata, dia dan adiknya sudah tidak sabar menjalani kehidupan sebagai penuntut di universiti itu.

“Kami meminati sukan yang sama iaitu memanah, bola baling dan boling dan kami berharap dapat menggilap bakat dalam sukan berkenaan,” katanya lagi.

Mereka adalah antara 2,943 daripada 4,126 penuntut yang ditemui di Majlis Sambutan Siswa Lestari Sidang Akademik 2019/2020 di USM, hari ini dan dirasmikan oleh Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Asma Ismail.

Disiarkan pada: September 4, 2019 @ 3:26pm
d