mutakhir

Selamatkan dana diseleweng daripada KWAP

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KERAJAAN kini mengambil langkah sewajarnya mendapatkan kembali seberapa banyak dana daripada keseluruhan RM4 bilion yang dipinjam daripada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) kepada SRC International Sdn Bhd (SRC).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, SRC meminjam sebanyak RM4 bilion daripada KWAP dengan jaminan daripada Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, SRC adalah anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum ia diambil alih oleh Kementerian Kewangan pada 2012.

“Oleh itu, beban kewangan SRC hari ini ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.

“Daripada dana RM4 bilion yang dipinjam, sebanyak RM3.6 bilion (USD1.1 bilion) dipindahkan melalui beberapa anak syarikat luar pesisir kepada beberapa entiti dan bank di luar Malaysia, termasuk BSI Bank di Switzerland (lebih USD800 juta); Bank Julius Baer & Co. Ltd di Hong Kong (USD 250 juta) dan sebuah syarikat eksplorasi arang batu di Mongolia (USD 60 juta),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Guan Eng berkata, memandangkan sebahagian besar dana ini digunakan di merata dunia, kerajaan sedang mengambil langkah sewajarnya untuk mengembalikan seberapa banyak dana membabitkan RM4 bilion itu.

Beliau berkata, kerajaan melalui SRC sedang giat mengambil tindakan sivil untuk tujuan itu dan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkenaan untuk menjejak wang berkenaan, selain bersama-sama dengan penasihat undang-undang untuk menentukan tindakan sivil yang boleh diambil bagi mendapatkan kembali aset SRC.

Menurutnya, langkah-langkah untuk mengembalikan wang di atas adalah tidak termasuk sebahagian dana SRC berjumlah RM42 juta yang didakwa diselewengkan yang mana prosiding kes itu masih berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Segala dana yang dapat dikembalikan kepada SRC dalam usaha di atas akan digunakan untuk membayar balik pinjaman daripada KWAP.

“Pada masa sama, ia akan mengurangkan bebanan kerajaan untuk membayar balik pinjaman bagi pihak SRC dan melebihkan peruntukan kepada pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat,” katanya.

Disiarkan pada: September 4, 2019 @ 4:10pm
d