mutakhir

JORaN untuk penuntut kerja sambilan

Oleh Zuhainy Zulkiffli

UNIVERSITI Sains Malaysia (USM) bakal melancarkan aplikasi yang memberi peluang pekerjaan secara sambilan dalam kalangan penuntutnya.

Aplikasi dikenali ‘Job Opportunity Recruitment and Networking’ atau JORaN itu dibangunkan sepenuhnya tiga penuntut universiti itu sejak April lalu.

Penuntut tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, Lai Beng Keong, 22, berkata, JORaN diilhamkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM sebagai inisiatif membantu warganya menjana Pendapatan dengan melakukan pekerjaan yang ditawarkan dalam kampus.

Katanya, sehingga kini aplikasi itu sudah 80 peratus siap dan dijangka dilancarkan sepenuhnya pada November depan.

“Kami sedar ramai penuntut mencari pekerjaan sambilan untuk pendapatan tambahan yang boleh menampung pengajian, kerana itulah aplikasi ini dibangunkan.

“Sehingga kini kami sudah mengemaskini hampir 30 kategori pekerjaan dan akan menambah baik dari semasa ke semasa,” katanya ditemui, hari ini.

Hadir sama, dua lagi penuntut yang turut membangunkan aplikasi itu, penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, Asamoah Kwaku Acheampong, 29, dan penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia, Danny Hartanto Djarum, 23.

Mereka ditemui pada Majlis Sambutan Siswa Lestari Sidang Akademik 2019/2020 dan Prapelancaran Aplikasi JORaN di USM Kampus Induk, Georgetown yang dirasmikan Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Asma Ismail.

Sementara itu Asma berkata, USM menyambut baik inisiatif penuntut dalam membantu menyediakan platform kepada warganya bagi menjana pendapatan.

“Usaha ini dapat melatih penuntut supaya berdikari dan berupaya menjadi ‘pemberi’ daripada ‘penerima’,” katanya ketika berucap.

Aplikasi berkenaan hanya boleh dimuat turun atau diakses oleh penuntut USM dan dijangka diperluas ke dua lagi kampus iaitu di Nibong Tebal dan Kubang Kerian, Kelantan.

Pembangunannya tidak membabitkan kos berikutan menggunakan kemudahan yang terdapat di universiti.

Disiarkan pada: September 4, 2019 @ 4:16pm
d