mutakhir

[UPDATE] 6 penumpang bas cedera

Oleh Nor Farhani Che Ad

POLIS mengesahkan enam orang cedera dalam kemalangan bas kilang dipercayai mengalami masalah brek di persimpangan lampu isyarat Amanjaya, Sungai Petani hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, semua yang cedera adalah penumpang bas yang juga warga Bangladesh.

“Setakat ini, seorang daripada mangsa dirawat di zon merah Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) akibat patah kaki dan luka mulut, tiga di zon kuning dan dua di zon hijau.

“Mereka adalah penumpang bas kilang yang ketika kejadian membawa 46 penumpang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian itu, 13 kenderaan rosak akibat rempuhan bas kilang terbabit.

Dalam pada itu, Adzli berkata, ketika kejadian pemandu bas kilang berkenaan melarikan diri dan usaha mengesan individu terbabit sedang dijalankan.

“Polis juga sedang mengesan pemilik syarikat bas dan diharap tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

Berita berkaitan

Bas 'sapu' 13 kereta

Disiarkan pada: September 4, 2019 @ 5:09pm
d