mutakhir

Miri rekod IPU tidak sihat

Oleh Faliq Lajim

DUA kawasan di Miri, Sarawak mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat setakat 5 petang hari ini.

Berdasarkan bacaan yang dipaparkan menerusi laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) milik Jabatan Alam Sekitar, stesen di Bandar Miri merekodkan bacaan IPU 157.

Selain itu, stesen di Institut Latihan Perindustrian (ILP) turut mencatatkan IPU tidak sihat dengan bacaan 102.

Sementara itu 65 lokasi di negara ini merekodkan bacaan IPU sederhana manakala satu kawasan lain pula berada pada bacaan IPU baik.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas (berbahaya).

Terdahulu, media melaporkan jerebu yang berlaku di dua daerah itu, pagi tadi berpunca daripada pembakaran terbuka tidak terkawal di sini yang berlaku sejak semalam.

Disiarkan pada: September 4, 2019 @ 6:02pm
d