mutakhir

Agong terima 29 kek Hari Keputeraan

Oleh BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menerima persembahan kek sempena sambutan Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka pada Isnin ini.

Sebanyak 29 kek pelbagai bentuk dan tema hasil kerja tangan cef dalam dan luar negara dipersembahkan di Dewan Santapan Utama, Istana Negara di Kuala Lumpur hari ini.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah meluangkan masa lebih 30 minit melihat kek yang dipersembahkan sebelum meninggalkan majlis berkenaan dengan menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua yang mengambil bahagian.

Pasangan diraja itu turut berkenan mengurniakan cendera kenangan kepada pihak yang menyertai persembahan kek tersebut sebagai tanda penghargaan.

Antara yang dipersembahkan ialah kek buah seberat 80 kilogram daripada Mandarin Oriental Kuala Lumpur berperisa limau kasturi.

Cef hotel itu, Leong Kat Kit berkata, beliau dan tiga rakannya mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk hasilkan kek itu.

Hotel Palace of Golden Horses pula mempersembahkan kek berperisa coklat seberat lebih 50 kilogram yang berbentuk peralatan bermain sukan polo berkuda.

“Saya bersama tiga lagi rakan menyiapkan kek ini dalam masa lima hari dan idea ini tercetus apabila saya terbaca Seri Paduka Baginda gemar bermain polo,” kata cef hotel itu, Firdaus Ismail.

Persembahan kek merupakan antara acara yang diadakan setiap kali sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

Disiarkan pada: September 4, 2019 @ 8:49pm
d