mutakhir

Buru R Chandran curi lembu

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

POLIS berjaya menumpaskan geng curi lembu yang aktif melakukan jenayah itu di sekitar Negeri Sembilan dan selatan tanah air.

Ia susulan tertangkapnya lima ahli kumpulan itu, semalam selepas menerima laporan kecurian lembu di Rembau.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, laporan dibuat seorang pemilik kandang ternakan itu di Kampung Kendong Baru, yang mendakwa diserang lapan lelaki bersenjata, kira-kira 10 malam, 30 Ogos lalu.

“Suspek mengikat dan menutup mata mangsa dan lima pekerjanya serta melarikan 58 lembu jantan, menggunakan kenderaan dipercayai lori.

“Berikutan itu, mangsa mengalami kerugian dianggarkan lebih RM200,000. Mangsa kemudian membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anuar berkata, bertindak atas laporan itu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau dan Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan melancarkan operasi khas mengesan suspek.

“Polis berjaya menahan lima lelaki tempatan berusia antara 29 hingga 51 tahun di sekitar negeri ini dan Kuala Kangsar, Perak, semalam.

“Polis turut merampas 41 lembu yang disyaki dicuri, empat telefon bimbit dan sebuah kereta Toyota Vios,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman enam hari bermula semalam sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Katanya, percaya dengan tangkapan itu, pihaknya berjaya menyelesaikan dan melumpuhkan sindiket curi haiwan ternakan, namun masih meneruskan siasatan bagi mengesan saki-baki ahli kumpulan itu masih bebas terutama, R Chandran, 32.

Orang ramai yang mengenali dan mempunyai maklumat mengenai lelaki itu yang beralamat di No.32 Jalan 1/5 Saujana Puchong, Selangor diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Danial Abd Rohim di talian 06-6851999 atau 013-2226085.

Disiarkan pada: September 4, 2019 @ 9:34pm
d