mutakhir

Hisap dadah sambil berjudi

Oleh Rosli Ilham

SEKUMPULAN lelaki yang leka menghisap dadah sambil berjudi di bawah khemah dalam ladang sawit di Felda Kerteh 3, Dungun, terpaku apabila ‘port’ itu diserbu pihak berkuasa hari ini.

Dalam serbuan 7 pagi itu, seramai 22 lelaki ditangkap hasil operasi dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, serbuan dilakukan susulan aduan awam berhubung kegiatan penagihan di kawasan terbabit.

Beliau berkata, selepas membuat risikan anggota polis kemudiannya mengepung dan menyerbu kawasan terbabit.

“Bagaimanapun, selepas menyedari port mereka diserbu kumpulan penagih terbabit cuba melarikan diri sehingga menyebabkan berlaku pergelutan sebelum berjaya ditangkap.

“Hasil serbuan, kami menahan 22 lelaki berusia 20 hingga 50-an dan saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.

Baharudin berkata, siasatan mendapati kumpulan penagih mendirikan khemah di kawasan terbabit untuk dijadikan ‘port’ bagi melepaskan gian.

Katanya, kumpulan penagih terbabit sentiasa berpindah-randah bagi mengelak ‘port’ mereka dihidu dan diserbu polis.

“Mereka kini ditahan di IPD Dungun untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 12(2) akta sama.

“Polis akan terus membuat operasi serta serbuan dari semasa ke semasa dan orang ramai diminta membantu polis dengan menyalurkan maklumat,” katanya.

Disiarkan pada: September 4, 2019 @ 10:38pm
d