mutakhir

Belaian GRO warga asing terbantut

Oleh Rosli Ilham

BERHIBUR sambil dibelai wanita warga asing. Itu tarikan disediakan di pusat karaoke di kawasan Taman Seri Dungun, Dungun, bagi menarik lelaki ‘hidung belang’ untuk berhibur di premis berkenaan.

Bagaimanapun, kegiatan mereka terbongkar apabila diserbu sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Anti Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun menerusi Op Noda, semalam.

Dalam serbuan 1.30 pagi itu, seramai 19 individu termasuk wanita warga asing disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO), penjaga premis dan pelanggan pusat hiburan terbabit ditahan.

Difahamkan serbuan dilakukan pihak polis selepas mendapati pelanggan dihidangkan dengan minuman keras sambil dilayan gadis warga asing terbabit.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, hasil serbuan pihaknya menahan lapan wanita warga asing membabitkan tujuh wanita warga Thailand dan seorang warga Filipina disyaki bekerja sebagai GRO.

“Lapan warga asing terbabit mendapati gagal menunjukkan permit kerja sah dan mereka didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial.

“Kami turut menahan seorang lelaki berusia 58 tahun yang berada di hadapan meja kaunter mengakui sebagai penjaga premis terbabit.

“Selain itu, seramai 10 lelaki yang dipercayai pelanggan berada di dalam premis terbabit turut ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, tindakan akan dikenakan terhadap pemilik premis terbabit kerana melanggar syarat lesen hiburan serta mengaji dan melindungi warga asing tanpa permit.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pekerja asing tanpa permit dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas lawatan sosial.

Disiarkan pada: September 4, 2019 @ 11:42pm
d