mutakhir

Lelaki terjun tingkat 19

Oleh Hadzlihady Hassan

TERTEKAN dipercayai kerana isteri merajuk dan keluar meninggalkannya, seorang lelaki maut selepas nekad terjun dari tingkat 19 rumahnya di Kondominium Mutiara Bandar Perda, di Bukit Mertajam, malam tadi.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, mayat lelaki berusia 46 tahun terbabit ditemui penduduk di kawasan parkir motosikal kondominium berkenaan dalam keadaan terlentang dan kepalanya pecah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, siasatan awal mendapati si mati sebelum itu berselisih faham dengan isterinya.

“Ada saksi memberitahu yang isterinya kemudian keluar daripada rumah terbabit bersama anak mereka yang berusia 12 tahun, 2 petang semalam, membuatkan lelaki itu tertekan.

“Lelaki terbabit yang dikatakan tidak dapat mengawal perasaan mengambil tindakan nekad dengan terjun melalui tingkap kira-kira enam jam selepas isteri dan anak keluar daripada rumah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut polis terpaksa memecahkan pintu rumah lelaki itu yang berkunci dan siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

“Keadaan rumahnya tidak berselerak manakala tingkap dalam rumah terbabit pula dalam keadaan terbuka dan dia dipercayai terjun melalui tingkap itu.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat,” katanya.

Disiarkan pada: September 5, 2019 @ 10:44am
d