mutakhir

Geng Bingai Turbo tumpas

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

DUA lelaki geng curi kereta dikenali Geng Bingai Turbo ditahan polis dalam serbuan di Jalan Taman Sri Gombak, Selangor 27 Ogos lalu.

Dalam serbuan 2 petang itu, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh menahan mereka yang berusia 27 dan 33 tahun.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, penahanan mereka membantu polis menemui semula enam kereta yang dilaporkan hilang tahun ini.

Menurutnya, geng itu berjaya dikenal pasti susulan daripada satu kejadian curi kereta awal tahun ini.

“Dalam kejadian itu, penuntut universiti mendapati Proton Satria miliknya yang diparkir di tepi pangsapuri hilang dipercayai dicuri.

“Hasil risikan membawa kepada penahanan mereka yang mempunyai rekod jenayah lampau.

“Polis kini giat memburu seorang lagi ahli kumpulan yang masih bebas dan identitinya sudah dikenal pasti,” katanya pada sidang media di IPD Sungai Buloh hari ini.

Menurutnya, semakan mendapati suspek pertama mempunyai 41 kes jenayah lampau iaitu kes curi kereta (24), akta dadah merbahaya (8), curi motosikal (4), curi dalam kenderaan/ pecah cermin kereta (4) dan satu kes pecah rumah manakala suspek kedua ada dua kes dadah.

“Hasil risikan juga mendapati, geng ini mensasarkan kereta lama sebagai sasaran iaitu Honda Accord, Proton Satria, Proton Wira, Proton Wira Aeroback dan Perodua Kelisa.

“Mereka juga membuat geran palsu selepas berjaya mencari pembeli,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: September 5, 2019 @ 1:04pm
d