mutakhir

'Bunyi 'kroh' dari dalam bilik'

Oleh Nor Farhani Che Ad

“KETIKA kejadian, saya dan suami dipanggil ibu mangsa untuk membantu anaknya itu, apabila kami masuk ke dalam bilik berkenaan, kami lihat mangsa sudah kaku dan dalam keadaan tertiarap di katil tingkat bawah.”

Demikian kata salah seorang jiran kepada kanak-kanak berusia 12 tahun yang mati selepas ditemui tergantung pada katil dua tingkat rumahnya di Taman Nenas, di Kulim, kelmarin.

Wanita yang enggan dikenali itu berkata, ketika kejadian, dia dan suaminya berada di ruang tamu rumah mereka sebelum mendengar panggilan ibu mangsa, 6.40 petang.

“Saya ingat rumah mereka terbakar, apabila saya keluar ibu mangsa meminta saya dan suami melihat keadaan mangsa di dalam bilik belakang rumah mereka.

“Apabila kami masuk ke bilik itu, mangsa sudah berada di atas katil tingkat bawah dalam keadaan tertiarap dan ada tali tergantung di besi katil atas,” katanya.

Dia berkata, dia dan suami bergegas meminta pertolongan seorang lagi jiran mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan.

“Memandangkan dia (seorang lagi jiran) tiada kelengkapan lengkap untuk memeriksa mangsa ketika itu, dia hanya periksa nadi, dia kata nadi mangsa sudah tiada,” katanya.

Bercerita lanjut, dia berkata, menurut abang mangsa, sebelum kejadian, mangsa dan abangnya yang berusia 14 tahun serta adik perempuannya (lapan tahun) dileteri ibu mereka ketika sedang bermain di ruang tamu rumah.

Mangsa dikatakan terus masuk ke bilik berkenaan dengan membawa buku sekolahnya, sebelum abangnya mendengar bunyi ‘kroh’ dari dalam bilik itu.

“Abangnya fikir mangsa bergurau, bila dia masuk ke bilik berkenaan, dia nampak adiknya sudah tergantung pada bahagian besi katil tingkat atas.

“Abangnya itu bertindak memotong tali berkenaan sebelum mendapati adiknya itu sudah tidak sedarkan diri,” katanya.

Dalam pada itu, mangsa disifatkan seorang yang pandai menjaga diri biarpun ketika ibunya yang berstatus ibu tunggal keluar bekerja.

Katanya, mangsa akan terus pulang ke rumah selepas pulang dari sekolah dan tidak keluar dari rumah tanpa kebenaran ibunya.

Usaha Harian Metro untuk menemubual keluarga mangsa bagaimanapun gagal kerana mereka tiada di rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusuf Shaari berkata, setakat ini, siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca kematian.

Berita berkaitan

Calon UPSR ditemui mati

Disiarkan pada: September 5, 2019 @ 2:22pm
d