mutakhir

Taktik seludup tidak menjadi [METROTV]

Oleh Rosli Ilham

TAKTIK lelaki menjadikan cuti hujung minggu yang panjang bermula 30 Ogos lalu untuk menyeludup rokok, gagal selepas ditahan bersama 113,500 kotak barang larangan itu.

Dia yang berusia 31 tahun ditahan ketika memandu lori tiga tan sarat muatan itu dekat Plaza Tol Kerteh, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pada 3 pagi, 30 Ogos.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Paddy Abdul Halim berkata, tangkapan itu juga adalah yang terbesar di Terengganu, hasil maklumat dan risikan.

Katanya, ketika itu sepasukan pegawai dan anggota JKDM cawangan Kemaman dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengesan lori berkenaan yang dipercayai dalam perjalanan menghantar bekalan ke Kuala Lumpur.

“Namun, pasukan terpaksa mengejarnya apabila pemandu itu enggan menghentikan kenderaan untuk diperiksa.

“Selepas sejam, barulah kenderaan itu dapat ditahan di laluan masuk ke Plaza Tol Kerteh dan pemeriksaan lanjut menemui 113,500 kotak yang di dalamnya ada 2,270,000 batang rokok putih dan keretek.

“Nilai rokok itu dianggarkan bernilai RM207, 200 tanpa cukai dan mencecah RM1,518,920 bersama cukai,” katanya pada sidang media di pejabat JKDM Cawangan Kemaman, hari ini.

Turut hadir Pengarah JKDM Negeri Terengganu, Datuk Radzi Muhamad.

Paddy berkata, suspek direman selama 15 hari sehingga 13 September untuk siasatan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Untuk rekod, sejak Januari hingga 4 September lalu, 306 juta batang rokok berjaya dirampas di seluruh negara, membabitkan 1,214 kes dengan nilai rampasan RM24.4 juta dan cukai kastam bernilai RM227 juta.

Disiarkan pada: September 5, 2019 @ 4:17pm
d