mutakhir

Perlu tujuh ILC demi keperluan OKU

Oleh BERNAMA

MALAYSIA memerlukan sekurang-kurangnya tujuh ​pusat pengurusan Independent Living Centre (ILC) bagi memenuhi keperluan lebih setengah juta golongan kurang upaya (OKU) berdaftar di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh​ berkata, ILC itu penting dalam memenuhi komponen yang diperlukan OKU iaitu perkhidmatan pembantu peribadi (PA), khidmat kehidupan berdikari, kaunseling, advokasi dan perkhidmatan sokongan​​.

“Dua ILC sedia ada terdapat di Bangi dan Petaling Jaya, mula beroperasi sejak awal bulan ini dengan peruntukan RM900,000​ dan kami harap, pada tahun hadapan, lebih banyak ILC dapat diwujudkan di seluruh negara bagi membantu 549,000 OKU yang berdaftar.

“Melalui ILC itu, kami akan mula melatih pembantu peribadi dan juga OKU bagi membolehkan mereka lebih berdikari serta mampu keluar dan berada bersama-sama masyarakat normal yang lain,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil kepada peserta bengkel Personal Assistant For Disabled Training ​di Kuala Lumpur, hari ini.

​Mengulas mengenai khidmat pembantu peribadi, Yeoh menjelaskan projek rintis itu merupakan kerjasama antara Malaysia Independent Living Association For Disable (MILAD) bersama Jabatan Pembangunan OKU (JPOKU).

Beliau berkata, kumpulan pertama yang terdiri daripada 25 orang PA akan menjadi penanda aras kepada perluasan perkhidmatan kepada golongan yang memerlukan di samping menyedarkan ramai pihak betapa pentingnya keperluan itu.

“Lebih menarik, mereka ini (PA) akan menerima elaun RM20 bagi setiap jam perkhidmatan yang diberikan. Bagi OKU yang mendapatkan perkhidmatan PA ini, mereka hanya perlu membayar RM5 bagi setiap jam perkhidmatan,” katanya.

Sementara itu, Ppresiden MILAD, Esther Lim berkata, PA yang terpilih akan menjalani latihan selama 20 jam yang dikendalikan oleh MILAD dan JPOKU sebelum dirujuk kepada OKU yang memerlukan perkhidmatan mereka.

“Selepas latihan, kami akan padankan PA dengan OKU yang sesuai mengikut jantina dan jenis ketidakupayaan OKU memandangkan perkhidmatan ini memerlukan kekuatan tenaga yang bukan sedikit. Sebagai contoh, memindahkan OKU dari katil ke kerusi roda,” katanya.

​Seorang peserta bengkel, Grace Wong, 26, berkata bengkel dan perkhidmatan PA sangat penting kerana masyarakat dapat memberi bantuan yang betul kepada golongan OKU.

“Kita tidak tahu apa yang akan terjadi dan mungkin, ahli keluarga sendiri yang memerlukan perkhidmatan sebegini. Jadi, dengan menjadi PA dan mendapat ilmu yang betul, saya boleh membantu ramai orang.

“Saya juga percaya, inisiatif ini mampu memberi peluang pekerjaan baharu kepada ramai rakyat Malaysia yang berminat dalam bidang ini di samping menjadikan Malaysia sebagai negara mesra OKU,” katanya.

Disiarkan pada: September 5, 2019 @ 5:45pm
d