mutakhir

Terdedah gas ammonia, 198,000 ayam dilupuskan

Oleh Fairuz Zaidan

SEBANYAK 198,000 ayam dilupuskan oleh kilang pemprosesan ayam di Merlimau, Melaka, pada 3 September lalu susulan terdedah kebocoran gas ammonia.

Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani Melaka, Norhizam Hassan Baktee berkata, langkah yang dibuat pengurusan kilang itu bagi menjamin keselamatan, sekali gus menyaksikan sebahagian bekalan ayam di negeri ini terutama di pasar raya besar terjejas, semalam.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan yang bekalan ayam sudah kembali pulih hari ini dan dapat menampung keperluan pengguna iaitu antara 300,000 hingga 400,000 ekor ayam sehari bagi Melaka.

“Pelupusan 198,000 ekor ayam ketika kejadian memang menjejaskan pasaran di mana kita dapat lihat berlaku kekurangan bekalan.

“Bagaimanapun, keadaan hari ini dimaklumkan sudah kembali pulih. Malah, kita mengucapkan terima kasih kepada kilang berkenaan kerana bertindak pantas mengatasi permasalahan itu kerana syarikat berkenaan pengeluar telur dan ayam daging terbesar di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Restoran ‘Original Penang Kayu Nasi Kandar’ bagi cawangan ke-12 di Bandar Hilir, hari ini.

Difahamkan, syarikat pemprosesan ayam itu memasarkan sebanyak 200,000 ayam sehari di negeri ini bagi memenuhi permintaan domestik.

Norhizam berkata, pihaknya memberi jaminan masalah bekalan ayam yang terjejas hanya bersifat sementara dan sudah mulai pulih mulai hari ini.

“Sebagai Exco yang bertanggungjawab, saya memberi jaminan yang bekalan ayam sudah kembali stabil. Penduduk Melaka tidak perlu cemas serta usah mendengar pelbagai persepsi orang luar,” katanya.

Sementara itu, eksekutif sumber manusia di kilang pemprosesan ayam itu, Haw Kok Seong berkata, semua ayam yang dilupus ditanam di tanah milik kilang berkenaan.

“Semua ayam ini ditanam di beberapa tempat kerana ia tidak boleh dibakar sebagaimana arahan daripada Jabatan Veterinar.

“Ayam yang dilupuskan itu membabitkan bekalan sehari. Namun, operasi kilang kembali pulih mulai semalam. Hanya kawasan yang terjejas dengan kebocoran gas ammonia yang masih ditutup untuk siasatan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Melaka,” katanya.

Beliau berkata, syarikat tetap akan membayar gaji kira-kira 200 kakitangan yang terjejas sepanjang tempoh siasatan selesai.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi 3 September lalu, seramai 26 pekerja terdiri daripada 20 wanita dan enam lelaki sesak nafas selepas terhidu gas akibat kejadian kebocoran ammonia.

Disiarkan pada: September 5, 2019 @ 6:07pm
d