mutakhir

Warga emas maut dipukul

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

LELAKI warga emas meninggal dunia semalam selepas dipukul pesakit mental di sebuah rumah di Kampung Dusun Durian, Bekelam, Bachok Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, warga emas berusia 93 tahun itu menghembuskan nafas terakhir 4.45 petang di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Katanya, ketika kejadian mangsa yang tinggal seorang diri di rumahnya didatangi lelaki berusia 20-an.

“Kejadian disedari penduduk kampung dan mereka memaklumkan kepada anak mangsa yang kemudian datang ke rumah sebelum mendapati ayahnya cedera dipukul.

“Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Beris Kubur Besar di sini, untuk rawatan sebelum dirujuk ke HUSM untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun mangsa yang dirawat meninggal dunia semalam di HUSM.

“Suspek kemudian ditahan polis 6.30 petang semalam untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: September 5, 2019 @ 6:35pm
d