mutakhir

Haram undi tukar agama

Oleh Idris Musa

ORANG Islam dilarang terbabit dalam undian media sosial mengenai pilihan menukar agama selain Islam, walaupun sekadar suka-suka dan berpeluang berbuat demikian.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perbuatan berkenaan adalah haram sama sekali dari sudut syarak.

“Hal ini kerana ia seolah-olah menunjukkan keinginan seseorang itu untuk memeluk agama selain Islam dan mempunyai keazaman untuk menjadi kufur.

“Ulama menyebutkan bahawa sesiapa yang berazam untuk menjadi kufur di masa yang akan datang, maka dia menjadi kufur pada ketika dia berazam itu.

“Bahkan, jika sekalipun dia berazam untuk menjadi kufur 100 tahun yang akan datang, ia turut menjadi kufur serta-merta,” katanya menerusi ruangan Al-Kafi, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan bagi Muslim yang terbabit dalam undian di Facebook iaitu ‘Jika berpeluang menukar agama, anda akan pilih agama mana, dengan disertai pilihan jawapan seperti Hindu, Kristian, Taoism dan lain-lain’.

Dr Zulkifli berkata, sesiapa terlanjur melakukan undian begitu walaupun tanpa keazaman dan sekadar main-main, hendaklah segera beristighfar, bertaubat dan mengucapkan kembali dua kalimah syahadah serta berazam tidak mengulanginya di masa akan datang.

Beliau menasihati umat Islam agar perkara itu tidak diambil ringan dan dibuat main-main kerana ia membabitkan akidah sebagai Muslim yang mempunyai keimanan bahawa hanya Islam agama yang benar dan diredai di sisi Allah SWT.

“Kami menegaskan sekali lagi bahawa hukum seorang Muslim terbabit dalam undian berkaitan pilihan untuk menukar agama adalah haram sama sekali.

“Ini kerana, hal ini jelas bertentangan dengan firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran ayat 19 dan 89 yang menerangkan bahawa agama diredai Allah hanyalah Islam dan larangan untuk umat Islam mencari agama selain daripada Islam.

“Selain itu, orang Islam yang terbabit dalam undian itu seolah-olah menunjukkan keazaman untuk menukar agama kepada agama yang dipilih dalam undian walaupun sekadar bermain-main,” katanya.

Disiarkan pada: September 5, 2019 @ 8:32pm
d