mutakhir

Malang kejar peragut

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

SUAMI isteri cedera selepas motosikal ditunggang mereka hilang kawalan dan terbabas ketika mengejar peragut di Jalan Suntex, Batu 9 Cheras, Kajang, hari ini.

Difahamkan dalam kejadian pada 5.25 petang itu, mangsa wanita meletakkan beg tangannya di tengah-tengah antara dia dan suaminya, sebelum dihampiri suspek daripada belakang.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, mangsa menunggang Modenas Kriss dihampiri suspek yang menunggang Yamaha 135LC berwarna hitam.

“Suspek bertindak meragut beg tangan itu dan memecut laju, sebelum mangsa mengejarnya tetapi motosikal ditunggang hilang kawalan.

“Kedua-duanya terjatuh dan mengalami kecederaan di muka, kepala, tangan kiri dan kaki kanan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, mangsa dihantar ke Hospital Kajang dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Kerugian dialami suspek masih dalam siasatan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta berhubung dengan balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nurfaezatul Akma di talian 017 5443931.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: September 5, 2019 @ 9:16pm
d