mutakhir

Dua rentung kereta terbakar

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

DUA lelaki rentung selepas kereta dinaiki terbakar susulan kemalangan di Jalan Beruas-Sitiawan, Sitiawan, malam tadi.

Seorang lagi lelaki dilaporkan parah selepas kereta Audi dinaiki mereka merempuh mesin penggelek jalan di laluan berkenaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan menerima maklumat mengenai kejadian pada 11.03 malam.

“Setibanya jentera bomba di lokasi kejadian mendapati kemalangan jalan raya itu membabitkan kereta Audi yang melanggar sebuah mesin ‘paver’ (penggelek jalan) yang diparkir di bahu jalan.

“Kemalangan itu mengakibatkan kereta berkenaan terbakar dan terdapat dua mangsa dipercayai rentung manakala seorang lagi parah dan sudah dihantar ke hospital oleh orang awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, maklumat awal diterima mendapati ketiga-tiga mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu adalah lelaki dewasa.

Menurutnya, operasi pemadaman dilakukan anggota BBP Sitiawan dengan bantuan BBP Pantai Remis.

Disiarkan pada: September 6, 2019 @ 12:42am
d