mutakhir

Pelbagai bantuan untuk mualaf

Oleh Noorazura Abdul Rahman

LEMBAGA Zakat Negeri Kedah (LZNK) mengambil inisiatif membantu menyediakan penginapan sementara untuk saudara baru jika mereka ditinggalkan keluarga termasuk memberi bantuan kewangan bagi memudahkan mereka menjalani kehidupan mengikut syariat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syeikh Zakaria Othman berkata, inisiatif itu dilaksanakan tahun lalu dengan kerjasama Majlis Agama Islam Kedah (MAIK).

Katanya, penginapan itu diwujudkan di Pusat Pengajian An Naam, Kuala Ketil, Baling yang turut menyediakan tempat pengajian kepada kanak-kanak pra-sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah serta warga emas.

“Mereka boleh tinggal di situ sehinggalah masalah mereka selesai, bantuan LZNK akan bermula selepas mereka mengucapkan dua kalimah syahadah...kita akan beri RM1,000 pada bulan pertama mereka memeluk Islam.

“Wang bantuan itu akan diberikan tiga bulan berturut-turut dengan syarat mereka perlu lengkapkan tiga bulan pengajian agama yang kita sediakan, kemudian selepas tiga bulan, kita beri RM300 sebulan setahun jika mereka hadir sekurang-kurangnya enam kelas pengajian setiap sebulan,” katanya.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, saudara baru juga boleh mengikuti kelas mingguan di daerah masing-masing sama ada pada Jumaat dan Sabtu dan kehadiran mereka dibiayai LZNK RM30 untuk setiap kelas.

Katanya, sehingga kini 5,800 saudara baru di seluruh Kedah dan tidak semua mendapat maklumat jelas mengenai bantuan berkenaan.

“Sebab itulah kita perlu war-warkan bantuan ini kerana kita tidak mahu mereka rasa terpinggir dan paling kita bimbang jika mereka terpaksa minta sedekah, jadi orang ramai boleh mengambil maklumat untuk dilaporkan kepada LZNK jika ada minta sedekah.

“Kita akan bagi bantuan bulanan dan jika mereka mahu berniaga kita bantu asalkan mereka serius mahu menjalankan perniagaan.

“Malah jika mereka mahu mendirikan rumah tangga bersama pasangan mualaf juga, kita beri bantuan RM3,000 seorang,” katanya.

Disiarkan pada: September 6, 2019 @ 12:03pm
d