mutakhir

Didenda kemuka resit kesuburan palsu

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

BEKAS pembantu tadbir didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas 10 pertuduhan alternatif membuat resit rawatan kesuburan palsu dari 2015 hingga 2017.

Tertuduh, Mazuin Zulkifli, 33, dari Sungai Lembing di sini membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membuat resit palsu RM84,520 dengan mengatakan tertuduh menjalani rawatan di Pusat Kesuburan Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini antara 14 September 2015 hingga 7 September 2017.

Tertuduh melakukan kesalahan itu ketika berkhidmat di Jabatan Perhutanan Pahang dan Jabatan Pertanian Pahang sebelum ditukarkan ke jabatan baru pada 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 464 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abiddin manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh menjalani rawatan kesuburan pada 2 Mei 2014 hingga 31 Julai 2015 namun tidak berjaya, tertuduh mengemukakan tuntutan kos rawatan RM9,020 kepada Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Pahang sebelum ia diluluskan.

Tertuduh yang sudah berpisah dengan suaminya pada 2016 bagaimanapun menggunakan borang rawatan sama serta resit palsu kononnya dari pusat kesuburan hospital itu bagi mendapatkan tuntutan antara RM7,075 sehingga RM9,420.

Peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar dalam rayuannya memaklumkan tertuduh sudah meletakkan jawatan tahun ini dan ketika ini tinggal bersama keluarganya.

“Tertuduh pernah menulis surat kepada Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Pahang pada 16 Ogos 2018 bagi menyatakan hasrat untuk membayar semula wang berkenaan namun sehingga kini tidak menerima sebarang jawapan.

“Tertuduh sudah insaf dengan perbuatannya dan kami berharap mahkamah dapat memberikan peluang terakhir dengan hanya mengenakan denda, bukannya hukuman penjara,” katanya.

Mohd Ghazali memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama enam bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan namun tertuduh yang ditemani keluarga membayar denda itu.

Disiarkan pada: September 6, 2019 @ 3:28pm
d