mutakhir

RON97, RON95 dan diesel kekal

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

HARGA runcit petrol RON97, RON95 dan diesel kekal iaitu pada harga RM2.50 seliter, RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter berkuat kuasa tengah malam ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataannya berkata, harga produk petroleum itu bagi tempoh 7 hingga 13 September ini berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh sama sepatutnya RM2.20 seliter dan RM2.26 seliter masing-masing.

“Tiada perubahan bagi harga runcit produk petrol RON95 manakala terdapat kenaikan bagi harga diesel yang berada pada paras RM2.23 minggu lalu.

“Namun harga runcit bagi kedua-dua produk dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, kenyataan itu menyebut, dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk itu, anggaran subsidi perlu ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh 7 hingga 13 September ini berjumlah RM52.61 juta.

Disiarkan pada: September 6, 2019 @ 5:24pm
d