mutakhir

Gusar pistol tiruan jadi senjata golongan militan

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Muhaamad Hafis Nawawi

KUALA LUMPUR: Mahu dijadikan koleksi peribadi dan berlagak ‘macho’ antara punca senjata api tiruan air gun dan airsoft gun giat diseludup masuk secara haram dari Thailand mahupun Indonesia.

Walaupun kegiatan menjual senjata api tiruan ini melalui laman jual beli dalam talian dikawal sepenuhnya namun sindiket atau pengedar masih aktif menggunakan media sosial Facebook dan Instagram untuk mendapatkan pelanggan.

Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata, sambutan terhadap senjata api tiruan didapati meningkat dan ini dibuktikan susulan kejayaan polis menahan seorang lelaki dan merampas 17 laras raifal dan 213 pucuk pistol serta komponennya bernilai kira-kira RM70,000 di sebuah rumah di Felcra Lubuk Sireh, Kaki Bukit di Pandang Besar, Perlis, 7 Julai lalu.

“Walaupun harga senjata api tiruan ini jauh lebih rendah berbanding senjata api tulen namun harganya kini semakin mahal selari dengan peningkatan permintaan.

“Berdasarkan maklumat diperoleh sebelum ini, pistol tiruan biasanya dimiliki bagi tiga tujuan iaitu bermain, berlagak hebat dan melakukan jenayah,” katanya.

Dia bagaimanapun gusar jika pistol tiruan ini digunakan oleh golongan militan untuk melakukan latihan laras dan ramas.

“Malah bagi golongan yang terbabit dengan aktiviti penyeludupan, tindakan menyeludup senjata api tiruan adalah latihan awal sebelum mereka menyeludup senjata api sebenar ke dalam negara.

“Sesuatu perlu dilakukan pihak berkuasa dalam membendung kegiatan ini,” katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata, individu yang memiliki senjata tiruan berdepan tindakan dipenjara tidak lebih setahun atau denda tidak melebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, mereka yang memiliki senjata api tiruan ini akan ditahan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.

“Oleh itu, kami menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli atau memiliki senjata ini dengan sengaja kerana banyak tindakan undang-undang boleh diambil mengikut akta senjata ini,” katanya.

Disiarkan pada: September 7, 2019 @ 5:30am
d